Econpile peroleh kontrak cerucuk, substruktur kondominium bernilai RM66.3 juta di Bukit Kiara | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Econpile peroleh kontrak cerucuk, substruktur kondominium bernilai RM66.3 juta di Bukit Kiara

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 12 Dis - Econpile Holdings Berhad memperoleh kontrak kerja-kerja cerucuk dan substruktur bagi pembangunan kondominium 46 tingkat di Jalan Kiara 7, Bukit Kiara, Kuala Lumpur.


Kumpulan tersebut berkata, surat penganugerahan yang bertarikh 27 November 2025 diterima oleh anak syarikat milik penuhnya, Econpile (M) Sdn Bhd, daripada pemaju hartanah, Laser Tower Sdn Bhd. 


Katanya, kontrak baharu tersebut melibatkan pembangunan dua blok kondominium iaitu Blok A dengan 247 unit dan Blok B dengan 248 unit, termasuk lantai kemudahan dan lapan tingkat bawah tanah,


"Jumlah nilai kontrak berkenaan adalah RM66,344,156.65, manakala projek ini dijangka siap dalam tempoh 18 bulan bermula 1 Disember 2025," kata Econpile dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia.


Pengurusan syarikat tersebut menjelaskan yang pembangunan hartanah ini dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan keuntungan kumpulan itu mulai tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026. 


Tiada risiko signifikan yang dikenal pasti selain risiko operasi, dan langkah kawalan serta prosedur operasi standard akan dilaksanakan bagi meminimumkan impak sepanjang tempoh kontrak.


Selain itu, tambah Econpile, tiada pengarah, pemegang saham utama atau individu berkepentingan yang mempunyai kepentingan langsung atau tidak langsung dalam projek ini. - DagangNews.com