KUALA LUMPUR 28 Nov — Econpile Holdings Berhad memulakan tahun kewangan baharu dengan prestasi kukuh apabila mencatatkan keuntungan bersih RM1.3 juta bagi 1QFY26 berakhir 30 September 2025.
CGS International berkata, ia meningkat daripada RM0.3 juta setahun lalu, dan keputusan itu seiring jangkaan, dengan sumbangan keuntungan dijangka lebih tinggi pada tempoh suku-suku seterusnya.
Firma penyelidikan itu menambah, keyakinan tersebut dijangka apabila kemajuan pembinaan kembali rancak, selepas hasil 1QFY26 mencatatkan peningkatan 10% tahun ke tahun (YoY) kepada RM88 juta.
"Sementara margin keuntungan kasar pulih kepada 9%, mencerminkan margin sebenar daripada buku tempahannya setelah beberapa projek bermasalah pada FY25 berjaya diselesaikan," katanya dalam nota.
Selain itu, CGSI menegaskan yang pencapaian kontrak baharu Econpile setakat tahun ini berada pada landasan kukuh, dan setakat akhir September 2025, jumlah kontrak baharu sudah mencecah RM233 juta.
Ini jelasnya, bersamaan 58% daripada sasaran RM400 juta untuk FY26, dan ia menjangkakan sasaran tersebut bukan sahaja dapat dicapai, malah berpotensi dilebihi susulan pelancaran banyak projek.
Antaranya tambah firma penyelidikan tersebut, kontrak baharu daripada pelbagai agensi kerajaan, pembinaan pusat data dan bangunan industri dalam tempoh masa yang terdekat di seluruh negara.
"Bagaimanapun, penguatkuasaan ketat oleh agensi di bawah Kementerian Pengangkutan (MOT) terhadap lori terlebih muatan didapati telah menyebabkan kenaikan harga konkrit serta kelewatan bekalan," kata CGSI.
Econpile namun jelas Irma itu, dilaporkan sudah bertindak pantas dengan mengurangkan risiko kes gangguan penghantaran tersebut dengan mendapatkan sumber daripada banyak pembekal alternatif.
Pada masa sama, ia turut menekankan pemangkin terbesar syarikat ialah potensi limpahan kerja daripada projek Sungai Klang Link, lebuh raya baharu 53 kilometer dari Klang ke Kuala Lumpur.
Kumpulan pembinaan tersebut kata CGSI, telah berjaya menandatangani memorandum persefahaman pada November 2023, dengan bahagian kerja cerucuk bagi projek itu dianggarkan bernilai RM1.4 bilion.
"Kami mengekalkan saranan 'tambah' dan harga sasaran 50 sen, berdasarkan keyakinan Econpile akan menjadi antara penerima manfaat kebangkitan semula perbelanjaan infrastruktur negara," katanya.
Perkembangan positif tersebut jelas firma penyelidikan berkenaan, turut selaras dengan kedudukan syarikat itu sebagai pemilik armada cerucuk 'bore' terbesar di Malaysia. - DagangNews.com








