Econframe catat untung bersih susut kepada RM4.3 juta bagi FY25 akibat pengambilalihan Ivory Pearl | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Econframe catat untung bersih susut kepada RM4.3 juta bagi FY25 akibat pengambilalihan Ivory Pearl

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 29 Dis - Econframe Berhad mencatatkan keuntungan bersih selepas cukai (PAT) hanya sebanyak RM4.3 juta bagi tahun kewangan 2025 (FY25) yang berakhir pada 31 Ogos 2025.


Kumpulan pembekal bahan binaan dan rumusan seni bina bersepadu itu berkata, jumlah ini menunjukkan penurunan berbanding RM10.96 juta yang dicatatkan pada tahun kewangan sebelumnya (FY24). 


Faktor utama yang menyebabkan timbul situasi penurunan keuntungan tersebut adalah kerugian kemerosotan nilai berjumlah RM5.9 juta daripada langkah pengambilalihan Ivory Pearl Sdn Bhd.


"Sekiranya kerugian pelunasan sekali sahaja ini tidak diambil kira, keuntungan sebelum cukai (PBT) sebenarnya berada pada tahap kukuh iaitu RM14.8 juta," maklum Econframe kepada Bursa Malaysia.


Justeru, kumpulan berkenaan menilai situasi semasa masih mencerminkan prestasi operasi teras yang tetap berdaya tahan walaupun keuntungan bersih terjejas teruk oleh faktor pelarasan perakaunan.


Syarikat tersebut katanya, berjaya mencapai banyak kejayaan besar dari segi perolehan, termasuk hasil tertinggi dalam sejarah syarikat buat kali keempat berturut-turut berjumlah RM110.9 juta.


Rekod ini jelasnya, merupakan peningkatan 7.1% berbanding RM103.5 juta pada tahun sebelumnya, selain segmen pembuatan kekal penjana pendapatan utama dengan menyumbang RM101.2 juta.


"Ia merangkumi 91.2% daripada jumlah hasil, dan pertumbuhan ini didorong permintaan kukuh segmen kaca aluminium dan produk kaca melalui anak syarikat Lee & Yong Aluminium Sdn Bhd," katanya.


Econframe menambah, syarikat masih mengekalkan margin untung kasar yang sihat pada kadar 27.3%, dan sepanjang FY25, ia melaksanakan beberapa langkah strategik bagi mengukuhkan kedudukan pasaran.


Antaranya jelas syarikat itu, pengambilalihan Ivory Pearl pada Julai 2025, membolehkan produk dipelbagaikan kepada pintu kayu dan menembusi pasaran eksport seperti Britain dan Australia.


Selain itu, pengambilalihan aset mesin dan kenderaan daripada Suria Kaca Sdn Bhd melalui Duroe Glass turut mengukuhkan rantaian nilai dalam pemprosesan kaca, dan meningkatkan kawalan kos.


"Sepanjang FY25, Econframe masih berupaya dalam mengekalkan prestasi kewangan yang stabil dengan kedudukan tunai bersih kumpulan ini sebanyak 4.63 sen sesaham setakat 31 Ogos 2025," katanya.


Secara keseluruhannya tegas syarikat berkenaan, penurunan keuntungan bersih bukanlah disebabkan oleh isu kelemahan operasi, tetapi akibat pelarasan nilai berkaitan pengambilalihan strategik.


Dengan rekod hasil yang melonjak dan integrasi menegak melalui anak-anak syarikat baharu, kumpulan ini berada dalam kedudukan baik memacu pertumbuhan jangka panjang. - DagangNews.com