Eco World mampu catat untung bersih sehingga RM147 juta jualan dua lot tanah pusat data di Kulai - CGSI | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Eco World mampu catat untung bersih sehingga RM147 juta jualan dua lot tanah pusat data di Kulai - CGSI

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 27 April - Jualan tanah berkaitan pusat data oleh Eco World Development Group Bhd (EWDG) dijangka memberi impak positif yang ketara kepada pendapatan kumpulan, dengan firma penyelidikan menganggarkan margin keuntungan selepas cukai (PAT) berada dalam julat 37% hingga 52%.

 

CGS International berkata, unjuran tersebut dibuat berdasarkan andaian kos infrastruktur tambahan sekitar RM50 hingga RM70 sekaki persegi (psf) bagi menjadikan tanah berkenaan sedia untuk pembangunan pusat data, selain kos tanah pada paras RM12 psf.

 

“Berdasarkan pengiraan ini, jualan tanah tersebut berpotensi menjana keuntungan bersih tambahan antara RM104 juta hingga RM147 juta,” katanya dalam nota kajian.

 

Firma itu berkata, sumbangan tersebut berupaya meningkatkan unjuran keuntungan bersih teras FY27F EWDG sebanyak 18% hingga 26%, bergantung kepada masa pengiktirafan pendapatan.

 

Katanya, jualan dua lot tanah di taman perindustrian Quantum Edge, Kulai itu bukan sahaja mencerminkan permintaan kukuh, malah memperlihatkan keupayaan kumpulan mengkomersialkan aset pada margin menarik.

 

Ujarnya, harga jualan purata RM130 sekaki persegi (psf) yang dicapai berada pada paras tinggi berbanding julat transaksi tanah pusat data di Johor iaitu antara RM75 hingga RM160 psf dalam tempoh dua tahun lalu.

 

“Ini merupakan pencapaian yang memberangsangkan, terutamanya dalam persekitaran makro yang lebih berhati-hati,” jelasnya.

 

Pembeli bagi tanah tersebut ialah KNBDC Malaysia Five Sdn Bhd, sebuah syarikat tidak tersenarai yang terlibat dalam pembangunan pusat data hiperskala di peringkat serantau.

 

Lebih menarik, dua lot berkenaan merupakan baki terakhir tanah perindustrian di Quantum Edge, sekali gus menandakan projek tersebut telah dimonetisasi sepenuhnya dalam tempoh kira-kira dua tahun sejak dilancarkan pada Jun 2024.

 

Firma penyelidikan itu melihat perkembangan ini sebagai bukti kukuh keupayaan pelaksanaan pengurusan serta tahap keterlihatan permintaan yang tinggi dalam segmen pusat data.

 

Dalam masa sama, bil kemajuan bagi jualan tanah tersebut dijangka bermula pada penghujung FY10/26F atau awal FY10/27F, yang akan terus menyokong momentum pertumbuhan pendapatan kumpulan bagi FY27F hingga FY28F.

 

Mengulas prospek sektor, firma itu berpandangan positif terhadap peningkatan minat daripada pemain pusat data serantau, yang semakin melihat Malaysia sebagai lokasi alternatif strategik susulan perubahan rantaian bekalan global dan ketidaktentuan geopolitik.

 

Sehubungan itu, EWDG dilihat sebagai antara proksi utama kepada tema pertumbuhan pusat data di Malaysia, disokong oleh bank tanah perindustrian strategik, rekod pelaksanaan yang kukuh serta keupayaan menyusun transaksi secara fleksibel.

 

Firma tersebut mengekalkan saranan “Add” ke atas saham EWDG dengan harga sasaran tidak berubah pada RM2.62, bersamaan diskaun 40% kepada nilai aset bersih terlaras (RNAV).

 

Antara pemangkin kenaikan termasuk jualan hartanah baharu yang lebih tinggi serta tambahan jualan tanah, manakala risiko penurunan melibatkan kelewatan pelancaran projek dan pertumbuhan jualan yang lebih perlahan. - DagangNews.com