ECM Libra jual hotel, 2 lot tanah di Pulau Pinang bernilai RM52 juta kepada Wealthpro | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

ECM Libra jual hotel, 2 lot tanah di Pulau Pinang bernilai RM52 juta kepada Wealthpro

TUNE Hotel di Pulau Pinang telah dibeli kumpulan ECM Libra pada 2018 dengan nilai RM21 juta.
Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 18 Ogos - ECM Libra Group Berhad, menerusi anak syarikat milik penuhnya, ECML Hotels Sdn Bhd (ECMLH), melupuskan sebuah hotel yang setinggi 11 tingkat di George Town, Pulau Pinang.

 

Katanya, hartanah berkenaan termasuk dua lot tanah pegangan bebas yang didudukinya dijual menerusi pemeteraian perjanjian jual beli bersyarat dengan Wealthpro Holdings Sdn Bhd (WHSB).

 

Kumpulan tersebut menambah, jumlah keseluruhan pertimbangan secara tunai bagi urus niaga pelupusan berkenaan ialah sebanyak RM51.88 juta.

 

"Hotel ini, terletak di No.100, Jalan Burma, dan mempunyai 258 bilik dengan keluasan lantai kasar berjumlah 8,884.23 meter persegi," katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

 

ECMLH memperoleh hartanah berkenaan pada Oktober 2018 dengan harga ketika itu ialah RM21 juta.

 

Berdasarkan nilai buku bersih teraudit sebanyak RM22.9 juta setakat 31 Disember 2024, pelupusan ini dijangka menjana keuntungan kasar pro forma kira-kira RM29 juta, sebelum cukai.

 

Sementara itu, anggaran perbelanjaan transaksi tersebut berjumlah RM4.3 juta, sekali gus memberikan anggaran keuntungan bersih sebanyak RM24.7 juta kepada kumpulan berkenaan.

 

"Secara keseluruhan, hasil daripada pelupusan ini akan diterima secara tunai,” menurut ECM Libra dengan perolehan akan digunakan bagi menyokong pelbagai inisiatif strategik kumpulan.

 

Ini termasuk pembayaran semula sebahagian pinjaman bank yang dijamin oleh hartanah tersebut, pembiayaan bagi pembangunan projek sedia ada, kerja-kerja ubah suai dan naik taraf, perluasan perniagaan masa depan, modal kerja am, serta pembayaran cukai dan kos berkaitan transaksi.

 

Berdasarkan angka tahun kewangan 2024, pelupusan ini dijangka meningkatkan aset bersih kumpulan daripada RM192.2 juta kepada RM216.9 juta, dan mengurangkan nisbah hutang kepada ekuiti daripada 0.33 kali kepada 0.25 kali.

 

Pelupusan itu katanya, meningkatkan pendapatan sesaham pro forma daripada 0.41 sen kepada 5.40 sen, namun masih tertakluk kepada kelulusan Lembaga Pengarah dan pemegang saham.

 

ECM Libra menjangkakan urus niaga ini akan dimuktamadkan pada suku pertama tahun 2026, bergantung kepada kelulusan yang diperlukan. - DagangNews.com