KUALA LUMPUR 8 Jan - EA Holdings Berhad mencatatkan keuntungan bersih hanya sebanyak RM1.802 juta bagi suku kewangan kelima berakhir 31 Oktober 2025, merosot 21.4% berbanding suku sebelumnya.
Prestasi lemah ini didorong terutamanya oleh penurunan besar sumbangan daripada segmen pengedaran makanan dan minuman (F&B), namun kekal penjana utama (66.2%) kepada aliran pendapatan kumpulan.
Bagi tempoh tersebut, kumpulan berkenaan mencatatkan pendapatan sebanyak RM14.126 juta, manakala bagi tempoh kumulatif setakat ini, pendapatan yang berjumlah RM70.222 juta sudah dicatatkan.
"Segmen F&B menyumbang RM9.351 juta daripada jumlah hasil suku semasa, diikuti perkhidmatan ICT (RM4.142 juta) dan sistem automasi (RM0.633 juta)," maklum EA Holdings kepada Bursa Malaysia.
Walaupun masih mencatatkan keuntungan, syarikat tersebut memaklumkan terdapat penurunan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak 26.8% kepada RM2.403 juta, berbanding pada suku yang sebelumnya.
Penurunan ini tambahnya, disebabkan oleh faktor margin keuntungan yang lebih rendah dalam segmen pengedaran F&B berikutan peningkatan kos barangan import dijual amat tinggi dalam suku tersebut.
Bagaimanapun, EA Holdings sudah menukar tarikh akhir tahun kewangan daripada 31 Julai 2025 kepada 30 November 2025, sekali gus menjadikan tempoh kewangan semasa kumpulan itu meliputi 16 bulan,
"Sehubungan itu, tiga bulan yang berakhir pada 31 Oktober 2025 merupakan tempoh suku kelima selepas pertukaran tersebut dilaksanakan dalam laporan kewangan tahunan syarikat," jelasnya.
Justeru tambahnya, melangkah ke hadapan, kumpulan tersebut akan terus meneroka peluang perniagaan dan projek baharu untuk meluaskan asas pendapatannya, dengan meneruskan strategi kepelbagaian
Usaha itu mengurangkan kebergantungan kepada sektor ICT serta melaksanakan langkah kawalan kos merentas semua entiti operasi untuk memastikan pertumbuhan mampan jangka panjang. - DagangNews.com








