DynaFront peroleh kontrak perkhidmatan IT daripada Tokio Marine Life Indonesia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

DynaFront peroleh kontrak perkhidmatan IT daripada Tokio Marine Life Indonesia

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 12 NovDynaFront Holdings Berhad, melalui anak syarikatnya, DynaFront Systems Sdn Bhd (DSSB), menerima kontrak daripada PT Tokio Marine Life Insurance Indonesia (TM Life).


Kumpulan tersebut berkata, ia melibatkan penyediaan perkhidmatan teknologi maklumat (IT) dengan rumusan perusahaan khusus bagi mengurus kitar hayat ejen insurans di negara jiran berkenaan.


Selain itu tambahnya, DSSB akan bertanggungjawab meningkatkan kecekapan operasi tenaga jualan di bawah perjanjian kontrak ejen insurans hayat (ALC) antara TM Life dan AGAPro Asia Pte Ltd. 


"Perkhidmatan ini ditawarkan secara bentuk perisian-sebagai-perkhidmatan (SaaS) lengkap dengan rangkaian sokongan berkaitan," kata DynaFront dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.


Kontrak berbilang tahun ini tertakluk kepada terma perjanjian ALC yang dimeterai pada 25 Julai 2025, namun nilai masih belum dapat ditentukan kerana bergantung kepada prestasi perkhidmatan.


Jelasnya, TM Life ialah anak syarikat milik penuh Tokio Marine Holdings Inc dari Jepun, yang ditubuhkan sejak 1879 dan sudah beroperasi di lebih 45 negara dengan kira-kira 51,000 kakitangan. 


Sementara AGAPro, yang berpangkalan di Singapura dan baru ditubuhkan pada 21 Mac 2025, menyediakan pelbagai rumusan strategik serta latihan untuk syarikat industri insurans hayat dan kesihatan.


"Kami menjangkakan yang kontrak baharu ini tidak akan memberi kesan material terhadap aset bersih, perolehan dan modal saham kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026," kata DynaFront.


Ia jelasnya, dijangka menyumbang positif kepada prestasi kewangan dan operasi mulai tahun kewangan 2027 dengan tiada pengarah atau pemegang saham utama ada kepentingan dalam kontrak ini.


Bagaimanapun katanya, Chan Kim Hong dilaporkan telah mengekalkan ketelusan dengan bertindak menolak diri daripada sebarang perbincangan dan keputusan yang berkaitan kontrak tersebut.


Lembaga pengarah menegaskan kontrak ini selaras dengan kepentingan terbaik kumpulan dan tidak memerlukan kelulusan tambahan pemegang saham atau pihak berkuasa berkaitan. - DagangNews.com