DXN dikhuatiri terjejas hasil pada 2QFY26 disebabkan kekuatan nilai ringgit, kata penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

DXN dikhuatiri terjejas hasil pada 2QFY26 disebabkan kekuatan nilai ringgit, kata penganalisis

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 30 Okt – Keputusan suku kedua tahun kewangan 2026 bagi DXN Holdings Berhad dilihat mengecewakan tiga firma penyelidikan utama tempatan apabila pendapatan kumpulan terus terjejas.


Mereka berpendapat, situasi negatif itu akibat faktor pengukuhan nilai ringgit yang menekan hasil dalam mata wang tempatan, meskipun pertumbuhan syarikat itu kekal positif di pasaran teras luar negara.


Maybank Investment Bank menurunkan penarafan kepada 'pegang' daripada 'beli' dengan harga sasaran (TP) baharu 55 sen berbanding 69 sen, menggambarkan pandangan berhati-hati terhadap unjuran hasil.


"Pengukuhan ringgit akan terus mengekang pertumbuhan pendapatan DXN sendiri, memandangkan lebih 90% jualan kumpulan itu diperoleh dari luar Malaysia," kata firma tersebut dalam notanya hari ini.


Hasil pada 1HFY26 sebanyak RM144 juta jelasnya, hanya mewakili 46% daripada unjuran setahun penuh, disebabkan kadar cukai efektif tinggi kepada 38% serta impak negatif pertukaran mata wang asing.


Justeru kata Maybank IB, walaupun hasil di pasaran utama seperti Peru, Bolivia, Mexico dan India naik hingga 38% tahun ke tahun (YoY) dalam mata wang tempatan, pengukuhan ringgit menghakis hasil.


Firma itu menurunkan unjuran pendapatan FY26 hingga FY28 sebanyak 3% hingga 4% setahun, namun menegaskan hasil dividen DXN yang melebihi 6% akan mengehadkan risiko penurunan harga saham.


RHB Research pula berbeza apabila kekal optimis terhadap DXN dan mengekalkan saranan 'beli', walaupun menurunkan TP kepada 70 sen daripada 80 sen selepas semakan unjuran keuntungan syarikat.


"Hasil 1HFY26 didapati masih lemah disebabkan faktor terjemahan mata wang asing yang dikesan tidak memihak, tetapi pertumbuhan asas di pasaran utama kekal kukuh," kata firma penyelidikan berkenaan.


Ia merujuk pertumbuhan dalam mata wang tempatan di India, Mexico, Bolivia, Peru, Turkiye dan Mongolia berada dalam lingkungan 2% hingga 44%, menunjukkan kekuatan operasi sebenar kumpulan.


Selepas menyemak semula jangkaan pertumbuhan dan margin, RHB Research mengurangkan unjuran hasil FY26 hingga FY28 sebanyak 13% hingga 14% serta menilai DXN sebanyak 11 kali nisbah harga FY26.


Ia namun positif terhadap prospek jangka sederhana dengan tumpuan pengembangan pasaran Brazil, pelancaran produk baharu, serta kecekapan operasi dan aliran tunai kukuh menyokong dividen 6%.


"Kami unjur kemasukan ke pasaran Brazil mula menyumbang ketara dalam 4 tahun, sementara strategi memperkukuh keahlian dan penglibatan pengedar menyokong pertumbuhan jangka panjang," katanya.


Sementara itu, CGS International (CGSI) mengekalkan saranan 'tambah' dengan TP 68 sen, serta berpandangan isu kelemahan keputusan suku kedua adalah bersifat sementara dan boleh diurus.


Firma itu melaporkan keuntungan bersih teras 2QFY26 sebanyak RM70.3 juta (6.5% YoY), menjadikan 1HFY26 sebanyak RM144.2 juta (-4.9% YoY), selaras dengan unjurannya sendiri kira-kira 45%.


Ia mengesahkan pengukuhan ringgit sebanyak 24% berbanding mata wang pasaran utama menyebabkan pertumbuhan hasil kelihatan lemah, walaupun jualan dalam mata wang tempatan meningkat 38% YoY. 


"Sehubungan itu, kami menjangka inisiatif mitigasi melalui pendekatan desentralisasi operasi dan penetapan harga berasaskan dolar Amerika Syarikat (AS) mengambil masa menunjukkan kesan," katanya.


CGSI menetapkan  TP sebanyak 68 sen, dengan saham DXN dinilai berada pada harga diskaun 13% berbanding rakan setara, manakala hasil dividen tinggi 11% dijangka mengekalkan minat pelabur.


Bagaimanapun ia memberi amaran pengukuhan lanjut ringgit atau perubahan peraturan antarabangsa boleh menjejaskan keuntungan kumpulan dalam jangka sederhana. - DagangNews.com