KUALA LUMPUR 23 APRIL - Tindakan Amerika Syarikat (AS) mengenakan duti terbaharu ke atas panel solar dari empat negara Asia Tenggara termasuk Malaysia dijangka memberi implikasi buruk ke atas pangkalan pembuatan di seluruh rantau ini, kata Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM).
Presiden FMM, Tan Sri Soh Thian Lai berkata, Malaysia khususnya, telah lama berperanan sebagai hab utama rantaian bekalan solar global dalam penghasilkan produk solar fotovoltaik terutamanya sel dan modul untuk tujuan eksport ke pasaran utama seperti AS dan Eropah
Justeru, langkah terkini AS itu kata beliau, mungkin boleh mengganggu perancangan pengeluaran dan memaksa syarikat berkaian untuk mempertimbangkan semula pelaburan yang sedang dijalankan atau yang dirancang.
"Dalam sesetengah kes, kilang mungkin terpaksa menggantung pengeluaran, menunda rancangan pembesaran, atau berpindah untuk mengelakkan tekanan kos. Ini menimbulkan implikasi serius terhadap kedudukan Malaysia sebagai destinasi pembuatan tenaga bersih," kata Thian Lai.
Isnin lalu, Jabatan Perdagangan AS mengenakan duti import baharu ke atas panel solar dari Malaysia dan tiga negara ASEAN lain, berikutan dakwaan ada menerima faedah daripada subsidi China dan harga yang tidak adil.
Menurut beliau, keputusan AS itu bukanlah langkah tarif baharu, tetapi hasil penyiasatan antilambakan dan duti balas dilaksanakan di bawah peruntukan undang-undang perdagangan negara tersebut yang ditetapkan.
"Duti ini hanya dikenakan kepada syarikat tertentu berdasarkan penemuan penetapan harga atau subsidi yang tidak adil, dan bukannya dikenakan sebagai tarif menyeluruh ke atas semua import dari rantau ini," tambahnya.
Thian Lai menjelaskan, industri solar Malaysia memang terdedah secara ketara kepada tindakan perdagangan AS memandangkan pergantungan eksportnya.
Bagaimanapun kata beliau, sejauh mana kesannya bergantung kepada sama ada pengeluar produk itu mengambil bahagian dalam penyiasatan dan bekerjasama dengan Jabatan Perdagangan AS.
"Syarikat yang memberi kerjasama sepenuhnya dengan menyediakan segala dokumentasi yang diperlukan mungkin menerima duti lebih rendah tetapi yang sebaliknya pula bakal menghadapi risiko diberi kadar tertinggi," tambahnya.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan kerajaan mengukuhkan rangka kerja institusi untuk bertindak balas terhadap tindakan perdagangan dengan mewujudkan mekanisme amaran awal, sokongan nasihat undang-undang yang diselaraskan, dan strategi perwakilan bersama. - DagangNews.com








