Dua terminal bas pacu pertumbuhan hasil Perak Transit FY25-FY27, kata TA Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Dua terminal bas pacu pertumbuhan hasil Perak Transit FY25-FY27, kata TA Securities

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 21 Ogos – Terminal Kampar Putra Sentral (KPS) dan Terminal Bidor Sentral (TBS) dijangka menjadi pemacu utama pertumbuhan hasil positif Perak Transit Berhad, menurut TA Securities.


Firma penyelidikan tersebut berkata, unjuran itu meliputi bagi tahun kewangan 2025 sehingga 2027 (FY25-FY27), disokong oleh faktor peningkatan tahap penghunian dan kadar sewaan yang progresif.


Tahap penghunian semasa bagi KPS dan TBS masing-masing berada pada paras 77% dan 67% setakat Mac 2025 serta dijangka terus meningkat berikutan permintaan kukuh terhadap ruang niaga di dua terminal itu.


"Prestasi ini menyumbang pencapaian kewangan kukuh Perak Transit bagi separuh pertama 2025, seiring dengan pertumbuhan hasil dan pengembangan margin keuntungan," kata TA Securities dalam notanya.


Semalam, kumpulan itu melaporkan keuntungan teras 1H25 meningkat 12.1% tahun ke tahun (YoY) kepada RM39.6 juta manakala keuntungan bersih suku kedua tahun ini bertambah 12.4% kepada RM19.9 juta.


Syarikat berkenaan yang disenaraikan sejak 2016 itu turut mengumumkan pengagihan dividen interim ketiga sebanyak 0.5 sen sesaham bagi tahun kewangan 2025, dan akan dibayar pada 19 November 2025.


Mengulas lanjut, TA Securities berkata, hasil bagi 1H25 meningkat sebanyak 6.1% YoY, dipacu oleh aliran pendapatan baharu daripada TBS yang mula beroperasi pada suku ketiga 2024 (3QFY24).


"Perak Transit juga merekodkan peningkatan penghunian di KPS dan margin keuntungan sebelum cukai bagi 1H25 turut meningkat 4.8 mata peratusan YoY hasil kecekapan operasi yang lebih tinggi," katanya.


Dari sudut suku tahunan pula tambah firma berkenaan, keuntungan teras bagi suku kedua 2025 (2QFY25) kekal stabil kepada RM20 juta, manakala hasil mencatat peningkatan marginal 1.6% kepada RM49.1 juta.


Tambahnya lagi, bagi projek terminal baharu, Terminal Tronoh Sentral dan Terminal Sri Iskandar Sentral masing-masing telah mencatatkan kemajuan pembinaan sebanyak 34% dan 19% setakat Mac 2025.


TA Securities dalam nada yakin, menjangkakan perkembangan dua terminal tersebut tidak akan terjejas oleh pelaksanaan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) atau memberi kesan kepada Perak Transit.


"Kami mengekalkan unjuran pendapatan bagi FY25 hingga FY27 serta saranan 'beli' terhadap saham syarikat ini dengan penilaian harga sasaran juga masih tidak berubah kepada RM1.08 sesaham," katanya.


Ia menjangkakan pertumbuhan hasil terus kukuh, dipacu peningkatan kadar penghunian dan penyewaan di KPS dan TBS yang akan menyumbang secara konsisten kepada keuntungan syarikat. - DagangNews.com