KUALA LUMPUR 16 Okt – Dua lagi bekas perunding skim unit amanah (UTS) dan skim persaraan swasta (PRS) ditegur Persekutuan Pengurus Pelaburan Malaysia (FIMM) kerana isu sijil akademik palsu.
Kesemuanya didapati terlibat melakukan pelanggaran peraturan tersebut dalam permohonan pendaftaran sebagai perunding skim berkenaan serta didapati bersalah menurut etika profesional badan itu.
FIMM memaklumkan antaranya ialah bekas perunding Kenanga Investors Berhad, Norzailin Zainudin kerana mengemukakan sijil akademik palsu dirinya semasa cuba melaksanakan proses pendaftaran.
"Beliau menerima hukuman penggantungan daripada sebarang pendaftaran dengan FIMM selama tempoh setahun yang sudah bermula pada 18 September 2025," menurut kenyataan badan berkenaan lagi.
Seorang lagi bekas perunding, Nurul Raihana Mohd Zamri, yang sebelum ini berkhidmat dengan Public Mutual Berhad, juga dikenakan tindakan selepas didapati memalsukan dokumen dan meniru tandatangan.
Tambah FIMM, beliau bagaimanapun dikenakan penggantungan hanya selama enam bulan, bermula pada tarikh sama, dan diwajibkan menghadiri latihan etika sekiranya ingin kembali ke industri tersebut.
Badan profesional ditubuhkan pada 1993 itu turut menyatakan yang tindakan disiplin tersebut perlu diambil selepas meneliti tahap keseriusan kesalahan serta faktor pencegahan awal bersesuaian.
"Teguran awam ini memberi mesej jelas FIMM tidak berkompromi terhadap salah laku, yang bertujuan membendung perunding melanggar peraturan dan memastikan perlindungan kepada pelabur," katanya.
Menurut kenyataan tersebut lagi, kes Norzailin berjaya dikesan hasil daripada siasatan dalaman oleh pihak FIMM sendiri, manakala kes Nurul Raihana pula dilaporkan oleh bekas firma majikannya.
Sebagai badan kawal selia sendiri yang diiktiraf oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), FIMM bertanggungjawab mengawal selia semua perunding pelaburan di Malaysia. - DagangNews.com








