KUALA LUMPUR 7 Nov – Dua bekas pegawai bank hari ini dikenakan denda berjumlah RM31,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan kerana gagal melaporkan urus niaga rasuah yang membabitkan dokumen pembiayaan perumahan bernilai keseluruhan RM3.38 juta antara tahun 2021 hingga 2022.
Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin menjatuhkan hukuman denda RM25,000 atau 30 bulan penjara terhadap Mohd Haikal Jamaludin, 41 dan RM6,000 atau enam bulan penjara terhadap Amira Nabiela Mohamad Jamaruddin, 28, selepas kedua-duanya mengaku bersalah mengikut Seksyen 25(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Mengikut fakta kes, Haikal menerima lima bayaran rasuah berjumlah RM15,920 yang dimasukkan ke dalam akaun banknya oleh wakil sebuah firma guaman sebagai balasan kerana mencadangkan syarikat tersebut bagi penyediaan dokumen pembiayaan perumahan bernilai RM2.46 juta.
Kesalahan dilakukan di dua cawangan bank di Petaling Jaya antara 14 April 2021 hingga 13 Januari 2022.
Sementara itu, Amira Nabiela didakwa menerima rasuah RM3,201 daripada sebuah lagi firma guaman atas sebab sama, dengan mencadangkan firma berkenaan untuk menyediakan dokumen pembiayaan bagi dua rumah berjumlah RM924,387.20, di sebuah cawangan bank di Shah Alam pada 23 November 2021.
Kedua-dua mereka pada awalnya dituduh di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009, namun ditawarkan pertuduhan pilihan kerana gagal melaporkan transaksi rasuah tersebut.
Ketika rayuan, Haikal memohon hukuman ringan dengan alasan menanggung empat anak dan ibu yang menghidap kanser tahap empat, manakala Amira Nabiela memaklumkan beliau tidak bekerja dan mempunyai komitmen pinjaman rumah, kereta serta anak kecil berusia setahun.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Muhamad Taufik Awaludin dan Nurul Izzati Sapifee, yang menegaskan keperluan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada penjawat institusi kewangan lain.
Dalam prosiding berasingan di mahkamah sama, seorang lagi pegawai bank, Koh Wei Yeong, 37, mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan menerima rasuah RM1,800 daripada sebuah firma guaman di Kelana Jaya pada 13 Mei 2020 bagi urusan dokumen pembiayaan perumahan bernilai RM300,000.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 dan turut ditawarkan pertuduhan pilihan kerana gagal melaporkan transaksi berkenaan. Mahkamah membenarkan jaminan RM8,000 dengan syarat tambahan menyerahkan pasport, tidak mengganggu saksi pendakwaan dan melapor diri ke pejabat SPRM setiap bulan.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 16 Disember ini. - DagangNews.com








