KUALA LUMPUR 26 Nov – D&O Green Technologies Berhad mencatatkan prestasi suram bagi suku ketiga tahun kewangan 2025 (3QFY25) selepas merekodkan kerugian yang besar, menurut MBSB Research.
Firma penyelidikan itu berkata, situasi tersebut ekoran peruntukan susut nilai inventori sekali sahaja sebanyak RM248.9 juta bagi menyesuaikan perubahan corak penggunaan pasaran yang lembap.
Berdasarkan perkembangan berkenaan, ia menurunkan saranan terhadap saham syarikat itu daripada 'neutral' kepada 'jual', dan mengurangkan harga sasaran kepada 77 sen daripada 95 sen sebelum ini.
"D&O melaporkan kerugian bersih RM169.1 juta bagi 3QFY25, didorong susut nilai inventori dengan perubahan dasar ini merupakan pelarasan perakaunan bukan tunai," kata MBSB Research dalam notanya.
Bagaimanapun jelas firma berkenaan, keadaan tersebut turut menghasilkan aset cukai yang tertunda sebanyak RM62.7 juta, dan menjadikan suku tersebut merekodkan pendapatan cukai RM59.4 juta.
Tanpa kesan susut nilai itu katanya, syarikat mencatatkan keuntungan normal RM14.1 juta, masih susut 38.5% tahun ke tahun (YoY), selari dengan kemerosotan hasil 6.1% YoY kepada RM256.5 juta.
Tambah MBSB Research, D&O bertindak sedemikian berikutan penjadualan semula tempahan oleh pengeluar automotif global terhadap perkembangan dasar perdagangan serta ketidaktentuan tarif serantau.
"Bagi 9MFY25, keuntungan normal terkumpul hanya RM13.2 juta, jatuh 56% YoY, disebabkan penyusutan hasil kepada RM741.6 juta (-8.7% YoY) ekoran pengurangan volum produksi pelanggan utama," katanya.
Prestasi keseluruhan ini hanya mencapai kira-kira 42.2% daripada anggaran setahun penuh firma penyelidikan tersebut untuk tempoh FY25, sekali gus dianggap sebagai di bawah jangkaannya sendiri.
MBSB Research menjangkakan yang tiada pemulihan secara ketara dalam 4QFY25, manakala prospek pasaran automotif global pula dinilai akan terus mencabar ke atas D&O dalam jangka sederhana.
Sehubungan itu katanya, unjuran keuntungan FY26 dan FY27 syarikat berkenaan dipotong masing-masing sebanyak 18.9% dan 26.9%, didorong andaian berlaku pertumbuhan hasil tahunan yang lebih sederhana.
"Selaras semakan semula ini, kami menurunkan harga sasaran yang berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (PER) 25.6 kali, ke atas unjuran pendapatan sesaham FY26," katanya. - DagangNews.com








