KUALA LUMPUR 26 Ogos - D&O Green Technologies Berhad dilihat kembali berada di landasan pemulihan kukuh selepas melalui tempoh mencabar pada separuh pertama tahun ini, menurut RHB Research.
Firma penyelidikan tersebut berkata, kumpulan itu dijangka mencatatkan peningkatan secara ketara dalam keuntungan bersih bagi separuh kedua tahun kewangan 2025 (2H25) dan tempoh seterusnya.
Ia mengekalkan saranan ‘beli’ dengan nilai wajar (FV) disemak kepada RM1.50 sesaham, berdasarkan 33 kali ganda unjuran pendapatan FY26, mencerminkan potensi kenaikan 30% berbanding harga semasa.
“D&O Green Technologies kini didagangkan pada paras harga terendah dalam beberapa tahun, walaupun menampilkan asas kukuh dan kedudukan teknologi global unggul," kata RHB Research dalam notanya.
Tambah firma tersebut, kumpulan berkenaan diunjur mengalami proses pemulihan pendapatan yang lebih mampan sebagai antara lima pengeluar diod pemancar cahaya (LED) automotif terbesar di dunia.
Ia ketika ini menguasai teknologi pencahayaan untuk kenderaan elektrik (EV) dan pintar, meliputi pencahayaan dalaman, luaran, serta dengan kemampuan kawalan warna dan intensiti yang sangat tepat.
Malah, kolaborasi strategik dengan AMS-OSRAM pada April 2024 untuk penyepaduan Protokol Sistem Terbuka (OSP) dalam sistem pencahayaan ambient automotif menegaskan lagi peranan penting syarikat.
"Ini terutamanya dalam rantaian bekalan global, sebagai kumpulan pembekal alternatif yang diketahui mampu memperkukuhkan lagi ketahanan dan fleksibiliti industri LED seluruh dunia," kata firma itu.
RHB Research berkata, walaupun pertumbuhan jualan kenderaan global hanya dijangka meningkat secara sederhana sekitar 1.3% pada 2025, D&O Green Technologies menikmati pelbagai manfaat yang luas.
Antaranya ialah kandungan LED yang lebih tinggi bagi setiap kenderaan, peningkatan pesat pasaran EV di seluruh dunia, serta permintaan pengguna kepada sistem pencahayaan pintar dan cekap tenaga.
Pasaran LED automotif global dijangka berkembang 6.9% sehingga 2029, seiring dengan trend kenderaan bersambung, penggunaan jenis lampu adaptif, dan kecekapan tenaga yang semakin mesra alam sekitar.
"Syarikat ini juga mencatat pertumbuhan hasil kukuh purata 16% dalam lima tahun terakhir, dipacu lebih 100 pelanggan korporat serta reka bentuk dalam lampu belakang dan lampu utama," katanya.
Segmen itu menawarkan margin tinggi kepada D&O Green Technologies, dan pemulihan dalam industri, selari pertumbuhan hasil purata pembekal automotif Tier-1 sebanyak 6% suku-ke-suku (QoQ) pada 2Q25.
Tambah RHB Research, situasi ini dijangka memberi impak positif kepada tempahan syarikat itu dalam separuh kedua FY25 selain langkah pengoptimuman operasi dijangka menyokong pemulihan margin 2H25.
Ini termasuk penstrukturan tenaga kerja, penjimatan bahan mentah, peningkatan kecekapan proses pengeluaran, serta penangguhan atau penyesuaian semula perbelanjaan modal yang bukan kritikal.
"Meskipun ada tekanan daripada perluasan kilang kedua, meliputi susut nilai dan pembiayaan sekitar RM22 juta setahun, syarikat menyasarkan kembali kepada situasi tunai bersih pada FY27," katanya.
Dengan teknologi berpaten, strategi pelaburan konsisten, dan sasaran pasaran automotif masa depan, D&O Green Technologies berada pada kedudukan baik untuk menunggang arus peralihan tenaga global.
Ia terutama dalam EV dan sistem pencahayaan automotif pintar dengan RHB Research melihat kelemahan harga saham baru-baru ini sebagai peluang kemasukan menarik ke dalam syarikat teknologi global.
Bagaimanapun firma itu mengingatkan risiko antaranya, ketidaktentuan ekonomi global, peningkatan kos bahan mentah dan buruh, persaingan sengit industri, kemerosotan jualan automotif serta keusangan teknologi dalam sektor pesat berubah. - DagangNews.com








