KUALA LUMPUR 4 Dis — D&O Green Technologies Berhad kembali dinilai berpotensi apabila menerima semakan semula penarafan Public Investment Bank daripada saranan 'underperform' kepada 'neutral'.
Perubahan dilaksanakan firma penyelidikan tersebut setelah ia menilai semula prospek syarikat teknologi itu berikutan penurunan ketara harga sahamnya sebelum ini yang dianggap berlebihan.
Menurutnya, impak kelemahan prestasi pada suku ketiga tahun kewangan 2025 berpunca daripada dasar inventori lebih ketat, yang membawa kepada penyusutan nilai bukan tunai bernilai RM249 juta.
"Langkah pembersihan inventori produk LED automotif lama ini dijangka menghapuskan penggantungan operasi dan membuka ruang kepada pemulihan lebih kukuh," kata PublicInvest dalam notanya hari ini.
Inventori D&O Green Technologies jelas firma berkenaan, disifatkan sebagai merosot ketara daripada RM610 juta kepada RM386.6 juta susulan penilaian semula inventori berdasarkan tiga faktor utama.
Ia meliputi perubahan model lampu kenderaan oleh pelanggan automotif, pengumpulan produk ditolak hasil pelaksanaan pemeriksaan visual lebih ketat sejak 2021 dan persaingan dalaman produk baharu.
PublicInvest berkata, daripada jumlah penyusutan RM249 juta itu, ia menjangka sekurang-kurangnya 50% atau sekitar RM125 juta yang boleh diperoleh balik dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
"Pengurusan syarikat tersebut menjangka pertumbuhan sederhana bagi FY26 dengan penggunaan kapasiti melebihi 75%, sebelum pemulihan yang lebih kukuh pada 2027" jelas firma penyelidikan berkenaan.
Faktor pemacu katanya, termasuk sumbangan pertumbuhan global kenderaan elektrik (EV), kemajuan teknologi bateri, serta peningkatan jualan smart LED yang dijangka melonjak 70% pula pada FY26.
Selain itu, D&O Green Technologies turut menerima komitmen tempahan secara jangka panjang daripada pelanggan utama antaranya 268 juta unit yang bernilai RM220 juta bagi tempoh 2027 hingga 2036.
Sejumlah 490 juta unit (RM80 juta) dan 570 juta unit (RM94 juta) bagi tempoh 2025 hingga 2029 untuk model SpicePlus 2520, ketika ini menyumbang 30% daripada keseluruhan jualan kumpulan itu.
"Pada masa sama, syarikat menyasarkan pengkomersialan cip reka bentuk dalaman menjelang akhir 2027, yang bakal menurunkan kos smart LED serta memperluas penembusan pasaran," tambahnya lagi.
Dari segi kewangan, syarikat mengekalkan sikap berhati-hati dengan perbelanjaan modal FY26 dianggarkan RM30 juta, serta komitmen pengurangan gear bersih daripada 0.32 kali kepada 0.12 kali.
Justeru, PublicInvest mengekalkan harga sasaran 81 sen namun menaikkan saranan memandangkan kesan penyusutan adalah sekali sahaja dan prospek pemulihan 2027. - DagangNews.com








