D&O Green Technologies dikhuatiri kurangkan pekerja jimat kos operasi RM25 juta, kata PublicInvest | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

D&O Green Technologies dikhuatiri kurangkan pekerja jimat kos operasi RM25 juta, kata PublicInvest

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 5 Jun — Pengurusan D&O Green Technologies Berhad dijangka melaksanakan pelbagai langkah peningkatan produktiviti dan pengoptimuman kos sepanjang tahun ini, kata Public Investment Bank Berhad (PublicInvest).


Firma penyelidikan tersebut menambah, usaha berkenaan disasarkan mampu menyaksikan penjimatan kos operasi keseluruhan kumpulan itu sehingga RM25 juta pada 2025 disebabkan faktor situasi kelembapan pasaran ketika ini. 


Ia berkata, antara yang telah dirancang ialah pengurangan seramai 322 pekerja berikutan beban daripada pelaksanaan perintah gaji bulanan minimum mandatori yang lebih tinggi iaitu RM1,700 dan bermula pada 1 Februari 2025.


"Kumpulan ini juga sudah mengurangkan tuntutan kerja lebih masa disebabkan syif atau giliran tugasan semakin berkurangan, dan penjimatan kos rangka plumbum untuk pembuatan produk," kata PublicInvest dalam nota kajiannya.


Berdasarkan perkembangan tersebut, firma itu dimaklumkan D&O Green Technologies sudah mula mencatatkan hasil pemasangan dan visual ujian yang semakin meningkat dengan ketara serta menyokong perolehan inventori lebih baik.


Tindakan pembetulan juga kata firma berkenaan, telah segera dilaksanakan oleh kumpulan itu untuk mengurangkan bayaran pampasan kepada pelanggan dengan menangani pelbagai risiko seperti pencemaran produk pad bon wafer.


Walaupun merekodkan permulaan lemah pada 1QFY25, pihak pengurusan kata PublicInvest, meramal peningkatan jualan beransur-ansur suku berikutnya, disokong penggunaan kapasiti tinggi di loji dan peningkatan kecekapan kos.


"Pemacu pertumbuhan utama untuk 2025 ialah SpicePlus 2520 Rear Combination Lighting yang setakat ini melonjak 60 peratus tahun ke tahun (YoY) dan NagaJo Headlamp dengan peningkatan 70 peratus YoY," kata firma tersebut.


Turut menyaksikan pertambahan ialah Smart RGB sebanyak 10 peratus YoY dengan kesemua produk itu tambah firma penyelidikan berkenaan, memang mendapat penerimaan yang lebih meluas dalam pelbagai model kereta baharu.


Berikutan potensi peningkatan yang agak terhad, PublicInvest mengulangi saranan "Neutral" ke atas D&O Green Technologies dengan harga sasaran turut tidak berubah sebanyak RM1.40 sesaham. - DagangNews.com