DNB, Ericsson cipta rumusan ruang kerja 5G pertama di dunia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

DNB, Ericsson cipta rumusan ruang kerja 5G pertama di dunia

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 4 Mac — Digital Nasional Berhad (DNB), pengendali rangkaian 5G nasional Malaysia, mengorak langkah penting ke depan dengan penggunaan Rangkaian Selular Maya Perusahaan (EVCN) Ericsson di ibu pejabatnya di ibu negara.
 

Ia menjadikan organisasi itu sebagai yang pertama di dunia mewujudkan persekitaran pejabat 5G dilengkapi dengan komputer riba berkuasa 5G diuruskan melalui EVCN dan disepadukan Microsoft Intune, Entra ID dan rangkaian 5G DNB.
 

Kakitangan DNB juga dapat menikmati sambungan kerja mudah alih yang selamat dan lancar, malah DNB merancang untuk bekerjasama dengan pengendali rangkaian mudah alih (MNO) yang lain bagi memperluaskan lagi EVCN di seluruh Malaysia.
 

Menurut kenyataan bersama, ia sebahagian usaha pendigitalan nasional lebih luas, dan DNB komited untuk menggantikan Wi-Fi tradisional kepada 5G sebagai perkhidmatan utama untuk meningkatkan aspek keselamatan serta kecekapan.
 

"Penyepaduan EVCN Ericsson dengan rangkaian 5G DNB seluruh negara dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh MNO, ia lebih selamat, kos efektif dan penyelenggaraan rendah serta akses peribadi dan boleh diprogramkan," katanya.
 

Penggunaan ini juga menonjolkan potensinya untuk membentuk semula sistem teknologi maklumat (IT) perusahaan, bahkan DNB bersedia membantu sektor swasta dan kerajaan, bagi menyokong matlamat transformasi digital Malaysia.
 

Jelasnya, melalui penyatuan infrastruktur IT dalam model berasaskan 5G, DNB berusaha mengukuhkan kedudukan pasarannya, dengan menawarkan sektor perusahaan kepada penyelesaian IT awan yang bersedia untuk masa hadapan.

 

dnb


Ketua Pegawai Eksekutif DNB, Datuk Azman Ismail berkata: “Kami mentakrifkan semula masa depan IT pihak perusahaan dengan memanfaatkan rangkaian 5G kami yang telah diiktiraf di peringkat global dan teknologi EVCN Ericsson. 
 

"Persekitaran premis selamat 5G yang pertama di dunia yang dilaksanakan di ibu pejabat DNB menunjukkan kuasa dan potensi 5G untuk merevolusikan IT perusahaan. Kerjasama ini bukan sahaja mengenai peningkatan ketersambungan.
 

"Ia turut memacu transformasi digital Malaysia ke hadapan, membolehkan perusahaan dan organisasi kerajaan menerima penyelesaian yang selamat, berskala dan tangkas yang akan membentuk operasi perniagaan generasi seterusnya.”
 

Sementara itu, Ketua Ericsson Malaysia, Sri Lanka dan Bangladesh, David Hagerbro pula menjelaskan bahawa perkongsian dengan DNB menandakan peristiwa penting dalam evolusi ketersambungan perusahaan di negara ini. 
 

"Menerusi penyepaduan EVCN Ericsson dengan infrastruktur 5G seluruh negara DNB, kami memperkasakan organisasi bergerak melangkaui model IT tradisional dan menerima era baharu penyelesaian asli awan, selamat dan berskala.
 

"Kerjasama ini bukan sahaja membolehkan perniagaan menerima teknologi terkini, tetapi mempercepatkan agenda transformasi digital Malaysia yang lebih luas. Kami bersama-sama meletakkan asas untuk perusahaan dan agensi kerajaan.
 

"Kedua-dua sektor tersebut dapat berkembang maju dalam dunia yang semakin hibrid dan lebih mengutamakan aspek digital, memacu kecekapan, inovasi dan pertumbuhan untuk tahun-tahun akan datang.” - DagangNews.com