DNB, Ericsson bekerjasama pacu transformasi digital perusahaan dengan 5G Advanced | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

DNB, Ericsson bekerjasama pacu transformasi digital perusahaan dengan 5G Advanced

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 6 Mac — Digital Nasional Berhad (DNB) dan Ericsson memeterai perkongsian strategik untuk bekerjasama mempercepatkan transformasi digital perusahaan di seluruh Malaysia melalui teknologi 5G dan 5G-Advanced.

 

Langkah tersebut bertujuan menyokong cita-cita negara dalam misi menjadi peneraju digital global sambil memacu pertumbuhan ekonomi dan inovasi merentas pelbagai industri yang menumpukan kepada pendigitalan perusahaan.


Selain itu, kedua-dua pihak mahu meningkatkan ketersambungan dan memupuk inovasi serta meluaskan liputan 5G dan 5G Advanced, sambil berusaha mengukuhkan infrastruktur digital dan membolehkan aplikasi dunia sebenar bagi teknologi itu.


Melalui perkongsian itu, DNB dan Ericsson akan mengembangkan sambungan 5G di kawasan strategik, termasuk zon perindustrian selain bekerjasama dengan pengendali rangkaian mudah alih untuk perkhidmatan ketersambungan dipertingkatkan.


"Perkongsian ini akan membuka jalan untuk pelbagai aplikasi Internet of Thing (IoT), memanfaatkan Keupayaan Berkurangan (RedCap) dan teknologi boleh pakai. Kemajuan ini akan memperkasakan perniagaan," katanya dalam kenyataan bersama.


Para pengguna juga akan menikmati sambungan generasi akan datang yang membuka kunci kemungkinan baharu dalam automasi industri, peranti pintar dan banyak lagi dengan menggunakan rangkaian 5G Advanced DNB sebagai platform inovasi.


Kerjasama itu juga akan memacu pembangunan aplikasi termaju melalui perkongsian inisiatif dengan penyedia rumusan, pemaju dan ahli akademik yang bertujuan untuk meletakkan Malaysia sebagai peneraju inovasi teknologi.


Pada masa sama, mereka mahu memupuk ekosistem bertenaga untuk penyelesaian digital masa hadapan selain menyepadukan alat pengoptimuman tenaga berkuasa AI untuk memaksimumkan kecekapan tenaga sejajar dengan matlamat kemampanan Malaysia.


"DNB dan Ericsson berazam mengurangkan kesan alam sekitar malah usaha ini menyokong perjalanan negara ke arah pelepasan sifar bersih dengan menjadikan penggunaan teknologi 5G lebih cekap tenaga dan mampan," tambah kenyataan tersebut.


Bahkan menerusi perkongsian itu juga, memberi tumpuan kepada pengukuhan keselamatan dan daya tahan rangkaian dengan melaksanakan langkah lanjutan yang akan membantu melindungi infrastruktur digital Malaysia daripada pelbagai ancaman siber.


Usaha itu katanya, memastikan ekosistem 5G yang selamat dan boleh dipercayai selain rangkaian DNB akan berintegrasi dengan ekosistem 'Application Programming Interface' global serta meningkatkan ketersambungan Malaysia.


Inisiatif itu membolehkan pembangunan penyelesaian digital termaju dan menerusi skim pengembangan ini akan menyokong perniagaan dalam memanfaatkan teknologi 5G untuk memacu inovasi dan pertumbuhan ekonomi.


Memorandum persefahaman itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif DNB, Datuk Azman Ismail dengan Ketua Ericsson Malaysia, Sri Lanka dan Bangladesh, David Hagerbro. - DagangNews.com