KUALA LUMPUR 6 Nov – Digital Nasional Berhad (DNB) berpotensi mengurangkan kos tunai kepada sekitar RM1.1 bilion bagi tahun kewangan 2026 (FY26) sekiranya berlaku penurunan perbelanjaan pekerja.
Menurut CIMB Securities, langkah itu antara yang wajar disediakan dalam pelan perniagaan semula di bawah Polisi Dwi Rangkaian 5G kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Firma penyelidikan tersebut memaklumkan, yang DNB sebenarnya sudah lama mengemukakan pelan berkenaan pada April 2025 bagi menangani jurang keberdayaan syarikat agar tidak terlalu berisiko.
Secara umum dalam bidang korporat, amalan penurunan kos pekerja boleh berlaku dengan pembuangan pekerja sedia ada, pembekuan pengambilan baharu atau pengurangan perbelanjaan faedah tertentu.
"Selain itu, DNB berhasrat mengurangkan yuran lesen serta caj faedah dengan sokongan pinjaman mudah menerusi syarat pembiayaan yang lebih ringan daripada pihak kerajaan," katanya dalam nota.
CIMB Securities dalam pada itu menyatakan, yang nota Arahan Menteri bertarikh 29 Oktober 2025, didapati berupaya menyokong rancangan penyusunan semula syarikat tersebut secara jangka panjang.
Tambah firma penyelidikan tersebut, ia ada memperuntukkan 100 MHz dalam jalur 3.3 hingga 3.4 GHz kepada DNB serta menukar spektrum 5G daripada penugasan peralatan kepada penugasan spektrum.
Langkah ini turut mengurangkan beban yuran lesen DNB daripada RM100 juta setahun kepada RM100 juta sepanjang 15 tahun, sejajar dengan beberapa andaian utama dalam pelan perniagaan DNB tersebut.
"Yuran komitmen minimum bagi 5G perlu purata antara RM270 juta hingga RM290 juta setiap penyedia akses untuk menampung kos tunai DNB, yang kekal dalam tahap terkawal," jelas CIMB Securities.
Bagi FY24, DNB mencatatkan pendapatan rendah iaitu RM341 juta, kerana hasil daripada capaian dan bekalan kapasiti rangkaian 5G hanya diiktiraf apabila perkhidmatan digunakan oleh pelanggan.
DNB ditubuhkan pada 23 Mac 2021, sebagai salah sebuah syarikat milik penuh Menteri Kewangan (Diperbadankan) untuk tugas membangunkan dan mengendalikan rangkaian 5G kebangsaan Malaysia.
Semua syarikat telekomunikasi utama menyertai atau menandatangani perjanjian akses komersial dengan DNB, termasuk CelcomDigi Berhad, Maxis Berhad dan Telekom Malaysia Berhad. - DagangNews.com








