Dividen Telekom Malaysia berpotensi naik dipacu pengoptimuman kos, kata Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Dividen Telekom Malaysia berpotensi naik dipacu pengoptimuman kos, kata Maybank IB

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 4 DisTelekom Malaysia Berhad (TM) berpotensi menawarkan dividen lebih tinggi akan datang, dipacu langkah pengoptimuman kos berterusan dan disiplin perbelanjaan modal (capex).


Berdasarkan perkembangan positif itu, Maybank Investment Bank mengekalkan saranan 'beli' sambil menaikkan harga sasaran berasaskan aliran tunai terdiskaun (DCF) kepada RM8.50 daripada RM7.50.


Menurut firma penyelidikan tersebut, TM dijangka berupaya dalam mengekalkan tahap kecekapan kos dengan usaha pengurangan capex dan inisiatif transformasi tenaga kerja kumpulan berkenaan.


"Penyediaan skim pemberhentian sukarela (VSS) baharu pada 3Q25 dijangka mampu mengurangkan kos kakitangan syarikat tersebut bermula pada FY26," jelasnya dalam satu nota kajian hari ini.


TM juga tambah Maybank IB, menunjukkan disiplin capex yang kukuh dengan nisbah capex kepada jualan kekal di bawah 18% sejak 2018, kecuali pada FY22 ketika pelaksanaan program JENDELA memuncak.


Dengan liputan gentian yang kini mencecah sebanyak 9.5 juta premis, firma itu menjangkakan capex dari FY25 hingga FY27 adalah stabil sekitar 15% daripada jualan keseluruhan kumpulan TM sendiri.


Berdasarkan unjuran yang disemak semula, syarikat itu kata firma penyelidikan berkenaan, dijangka berupaya menjana aliran tunai bersih setelah diolak semua kos dalam sekitar RM1.7 bilion setahun.


"Dengan dasar pembayaran dividen semasa ditetapkan TM antara 40% hingga 60%, bahagian pembayaran maksimum kumpulan iaitu mencecah 60% hanya memerlukan sebanyak RM1.1 bilion," kata Maybank IB.


Firma tersebut pada masa sama, menjangkakan TM mampu untuk mencapai kedudukan tunai yang bersih menjelang FY28, dengan menyediakan ruang penampan mencukupi bagi peningkatan pengagihan dividen.


Justeru, ia menyemak semula unjuran keuntungan kumpulan perkhidmatan telekomunikasi digital bersepadu itu pada FY25, FY26 dan FY27 masing-masing 0%, 0% dan 3% selepas melaras anggaran capex. 


Maybank IB turut menegaskan bahawa TM kekal sebagai tidak terjejas oleh perkembangan isu kemelut pemegangan saham dalam Digital Nasional Berhad (DNB). - DagangNews.com