KUALA LUMPUR 27 April — Prospek pulangan dividen yang semakin mengecil susulan berakhir kelebihan cukai pegangan (WHT) 10% dilihat menjejaskan daya tarikan IGB Real Estate Investment Trust (REIT).
Berdasarkan kepada perkembangan tersebut, CGS International (CGSI) menurunkan harga sasaran (TP) sesaham kumpulan amanah pelaburan hartanah itu kepada RM2.72 berbanding RM2.80 sebelum ini.
Firma penyelidikan itu berkata, jangkaan hasil dividen bagi FY26 sekitar 4.8% kini berada jauh di bawah purata sektor sebanyak 5.7%, dan menjadi faktor utama penarafan 'pegang' masih dikekalkan.
“Penilaian semasa ke atas IGB REIT dilihat sudah mengambil kira sepenuhnya pertumbuhan pengagihan pendapatan (DPU) yang kukuh, sekali gus mengehadkan potensi kenaikan harga saham itu,” jelasnya.
TP baharu itu ujar CGSI, turut mengambil kira diskaun 3% terhadap nilai saksama berasaskan model diskaun dividen (DDM), berikutan tamatnya kadar WHT tetap bagi sektor REIT mulai 18 Mac 2026.
Langkah terbaharu ini tambah firma berkenaan, dijangka memberi tekanan kepada pulangan bersih pelabur, khususnya dalam persekitaran kadar hasil yang semakin kompetitif daripada sektor lain.
Walaupun begitu, prestasi operasi IGB REIT dijangka kekal kukuh dengan pertumbuhan DPU sekitar 33% pada FY26, didorong faktor sumbangan penuh daripada pusat beli-belah Mid Valley Southkey (MVS).
"Aset tersebut mula menyumbang pendapatan sejak November 2025 dan dijangka menjadi pemacu utama pertumbuhan kepada kumpulan berkenaan dalam tempoh setahun penuh," kata nota analisis CGSI itu.

Selain itu, ia menjangkakan kadar penghunian dan kadar semakan sewa kekal stabil bagi tempoh FY26 hingga FY28, disokong oleh tahap kualiti aset utama serta aliran pengunjung yang didapati sihat.
Pengurusan IGB REIT ujarnya, sebelum ini memberi panduan pertumbuhan kadar sewa dalam satu digit, dengan prestasi jualan penyewa menyerap kesan perluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
Tambah CGSI, prospek pertumbuhan jangka sederhana namun dilihat adalah terhad berikutan isu kekurangan kejelasan lengkap terhadap pelan suntikan aset baharu daripada penaja kumpulan itu.
"Dari segi kewangan, nisbah gear atau hutang kekal sihat pada 0.31 kali setakat akhir FY25, yang dapat memberikan ruang untuk pemerolehan aset atau inisiatif penambahbaikan aset (AEI)," katanya.
Bagaimanapun, firma penyelidikan tersebut berpandangan yang potensi IGB REIT bagi pemerolehan baharu dalam tempoh tiga tahun kewangan iaitu dari FY26 hingga FY28 adalah terbatas buat masa ini.
Antara risiko utama ujar CGSI, termasuk kelembapan ekonomi yang boleh menjejaskan kadar penghunian dan semakan sewa, serta kenaikan kadar faedah yang berpotensi memberi tekanan kepada pendapatan.
Sebaliknya jelas firma penyelidikan berkenaan, peningkatan jualan penyewa dan prestasi lebih kukuh daripada jangkaan bagi MVS boleh menjadi pemangkin tambahan kepada prestasi masa depan kumpulan.
"Secara keseluruhan, kami melihat IGB REIT sebagai bertahan dengan asas operasi kukuh, namun potensi kenaikan harga adalah terhad dalam jangka masa terdekat," katanya. - DagangNews.com








