Diesel dijual kepada Filipina dimiliki Vitol Singapura, PETRONAS tidak terlibat - Fahmi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Diesel dijual kepada Filipina dimiliki Vitol Singapura, PETRONAS tidak terlibat - Fahmi

KUALA LUMPUR 13 April - Dakwaan kerajaan Malaysia menghantar bekalan diesel ke Filipina seperti yang tular di media sosial adalah tidak benar dan berpunca daripada salah faham berkaitan pergerakan logistik perkapalan di perairan Johor, kata jurucakap kerajaan Datuk Fahmi Fadzil.

 

Fahmi, yang juga Menteri Komunikasi, berkata diesel tersebut tidak diproses oleh PETRONAS atau mana-mana syarikat minyak tempatan, sebaliknya dimiliki dan dijual oleh syarikat berpangkalan di Singapura, Vitol.

 

 

 

 

 

 

“Timbul persoalan di media sosial mengenai minyak yang didakwa dihantar oleh kerajaan Malaysia ke Filipina. Namun, penjelasan oleh PETRONAS dan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) mengesahkan bahawa minyak tersebut bukan milik Malaysia. Sebaliknya, ia dijual oleh syarikat berpangkalan di Singapura, Vitol, dan disimpan di sebuah kemudahan di Johor, di kawasan Tanjung Pelepas.

 

“Dalam konteks perkapalan, kapal yang berada di perairan Johor dianggap berlepas dari Malaysia. Ini telah menimbulkan salah faham dalam kalangan sesetengah pengguna internet yang mendakwa diesel tersebut dihantar dari Malaysia.

 

“Hakikatnya, minyak tersebut tidak diproses oleh PETRONAS atau mana-mana syarikat minyak tempatan, tetapi milik Vitol dan telah dijual kepada pihak di Filipina, dengan kapal hanya berlepas dari perairan Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan surat pelantikan pengerusi panel penasihat Pusat Penyebaran Maklumat Nasional (Nadi) di Kuala Nerus pada Isnin.

 

Sehubungan itu, Fahmi berharap penjelasan ini dapat memperbetulkan maklumat kepada orang ramai bagi mengelakkan kekeliruan mengenai isu berkenaan.

 

Artikel Berkaitan: Diesel ke Filipina? PETRONAS terpaksa nafi sekali lagi dalam 2 minggu

 

Sebelum ini, pasukan pengurusan krisis MTEN mengesahkan dalam satu kenyataan bahawa 329,000 tong diesel yang dihantar ke Filipina baru-baru ini bukan berasal dari Malaysia, bertentangan dengan laporan beberapa media antarabangsa.

 

MTEN turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi dan sentiasa merujuk kepada sumber rasmi kerajaan.

 

Diesel01

 

PETRONAS dalam kenyataan berasingan turut menafikan penglibatan dalam penghantaran kira-kira 329,000 tong atau 52.311 juta liter diesel ke negara jiran itu.

 

Syarikat minyak nasional itu menegaskan bahawa ia tidak pernah memeterai sebarang perjanjian dengan mana-mana pihak di Filipina berkaitan bekalan diesel tersebut.

 

Diesel02

 

Terdahulu, media Filipina melaporkan bahawa kira-kira 329,000 tong atau 52.311 juta liter diesel dari Malaysia telah dihantar ke negara itu bagi meningkatkan bekalan bahan api di tengah ketidaktentuan pasaran global.

 

 

 

 

 

 

 

Menurut laporan itu, penghantaran tersebut merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan Filipina untuk memperkukuh bekalan domestik, susulan penghantaran 142,000 tong atau 22.578 juta liter dari Jepun pada 26 Mac lalu. - BERNAMA