KUALA LUMPUR 25 Mac - Sektor penjagaan kesihatan di negara ini terutama operator hospital swasta kekal stabil meskipun Laporan Tahunan 2024 Bank Negara Malaysia (BNM) menunjukkan pelbagai cabaran berterusan dihadapi, kata PublicInvest.
Firma penyelidikan itu berkata, sebagai tindak balas, bank pusat itu dan pihak berkepentingan utama, melaksanakan sembilan inisiatif utama yang bertujuan untuk membendung kesan inflasi perubatan ke atas sektor tersebut yang berdepan tekanan kos dan pembaharuan struktur.
Ia menyambut positif terhadap segala inisiatif yang diambil tetapi turut memberi amaran langkah berkenaan sebenarnya masih lagi di peringkat awal serta mungkin mengambil masa yang lebih lama untuk dilaksanakan sebelum pengguna sektor ini dapat melihat hasil akhir.
"Walaupun inflasi perubatan meningkat, kami percaya sektor penjagaan kesihatan swasta kekal berdaya tahan, mendapat manfaat daripada peningkatan permintaan untuk perkhidmatan penjagaan kesihatan yang berkualiti dan pelancongan perubatan," katanya dalam satu nota kajian.
PublicInvest berkata, faktor ketelusan harga, terutamanya untuk penetapan harga ubat runcit, mungkin menghadapi cabaran kerana berdepan isu keperluan untuk penyeliaan dan penjajaran kerajaan yang komprehensif merentas pemegang kepentingan penjagaan kesihatan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad sebelum ini menegaskan Malaysia tidak akan memakai model sistem kumpulan berkaitan diagnosis (DRG) Amerika Syarikat secara pukal tetapi merancang untuk memperkenalkan versi hibrid disesuaikan dengan konteks tempatan.
"Selain itu, kami percaya yang pengenalan kepada sistem DRG di Malaysia mungkin masih terlalu awal untuk digunakan, memandangkan banyak kerumitan boleh terlibat dalam menangkap segala data kos terperinci untuk rawatan dan bekalan ubat-ubatan," jelas firma penyelidikan tersebut.
Justeru ia percaya pelaksanaan sistem itu memerlukan pengumpulan data meluas dan infrastruktur rekod perubatan elektronik (EMR) disepadukan baik, serta boleh melanjutkan masa penerimaan disebabkan oleh kerumitan dalam menjajarkan pihak berkepentingan dan proses penyeragaman.
Secara am, PublicInvest percaya, hospital swasta Malaysia masih akan kekal berdaya tahan, disokong peningkatan jumlah pesakit dalam, kadar penghunian katil (BOR) yang sihat sebanyak 70 peratus, dan peningkatan kedatangan pelancong perubatan antarabangsa.
"Kami setakat ini memihak kepada IHH Healthcare Berhad untuk diberikan tumpuan oleh para pelabur memandangkan asas aset syarikat yang pelbagai, rancangan pengembangan mantap dan kehadiran serantau kukuh di seluruh pasaran utama," kata firma penyelidikan tersebut.
Kumpulan itu jelasnya, terus mendapat banyak manfaat daripada permintaan berterusan untuk perkhidmatan penjagaan kesihatan, dengan pengambilalihan strategik Island Hospital, Pulau Pinang baru-baru ini, yang mempamerkan pendekatan berdisiplinnya terhadap pertumbuhan.
Pulau Pinang sendiri kata PublicInvest, menyumbang 45 peratus daripada pendapatan pelancongan kesihatan Malaysia, dipacu kemasukan pelancong perubatan dari Indonesia yang berterusan dan firma itu kekal pendirian "overweight" terhadap sektor penjagaan kesihatan. - DagangNews.com








