KUALA LUMPUR 23 Dis - Dialog Group Berhad mengesahkan anak syarikat milik tidak langsungnya yang tidak aktif, Kamphaeng Saen Energy Ltd (KSE) dibubarkan secara rasmi pada 22 Disember 2025.
Menurut kumpulan perkhidmatan industri minyak dan gas (O&G) tersebut, penutupan itu dibuat selepas mesyuarat agung tahunan yang terakhir serta selaras dengan Seksyen 213(1) Akta Syarikat 1981.
KSE yang diperbadankan di Bermuda sebelum ini sudah ditempatkan di bawah proses pembubaran sukarela dan firma Tonesan Amissah dari Victoria Place, Bermuda, dilantik sebagai pelikuidasi.
"Pihak berkenaan akan bertanggungjawab dalam mengendalikan segala proses pembubaran untuk syarikat tersebut," jelas Dialog Group dalam satu maklumannya kepada Bursa Malaysia hari ini.
Ia menegaskan pembubaran KSE tidak memberi kesan material terhadap modal saham, ekuiti pemegang saham utama, keuntungan, aset bersih dan nisbah hutang bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026.
Selain itu, tiada pengarah atau pemegang saham utama Dialog Group, atau individu yang berkaitan, mempunyai kepentingan sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam pembubaran sukarela KSE.
Tambahnya, pengumuman awal mengenai langkah pembubaran secara sukarela ke atas KSE sudah dilaksanakan oleh kumpulan berkenaan pada 13 November 2025. - DagangNews.com








