KUALA LUMPUR 21 April — Harga diesel yang mahal sekarang sangat menekan operasi perniagaan harian merentasi pelbagai sektor, tegas Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM).
Menurutnya, kebimbangan tersebut disuarakan oleh hampir 30 persatuan perdagangan yang mewakili pelbagai industri di negara ini dalam sesi libat urus serta melibatkan kira-kira 150 peserta semalam.
Tambahnya, kenaikan harga bahan api berkenaan didapati meningkatkan kos pengangkutan dan logistik secara ketara, sekali gus memberi kesan langsung kepada kos pengeluaran dan pengedaran barangan.
“Sektor seperti pembuatan, pembinaan, pertanian serta borong dan runcit antara yang paling terjejas teruk berikutan kebergantungan tinggi kepada bahan api dan tenaga,” kata ACCCIM dalam satu kenyataan.
Gangguan rantaian bekalan, kos penghantaran mahal dan margin keuntungan semakin kecil menjadi cabaran utama, terutama apabila banyak perniagaan tidak mampu memindahkan kos kepada pengguna.
Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) pula jelas gabungan itu dilihat sebagai paling terdedah berikutan aliran tunai semakin ketat dan keupayaan terhad untuk menyerap balik kenaikan kos operasi.

Pada masa sama, ACCCIM menyambut baik langkah segera diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan bagi membantu perniagaan menangani tekanan kos.
"Antara langkah kerajaan tersebut termasuk jaminan pembiayaan RM5 bilion melalui Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP), dan lanjutan tempoh peralihan e-invois selama 12 bulan," tambahnya.
Dewan perniagaan tersebut katanya, turut bersetuju dengan langkah pelepasan cukai sementara ke atas barangan Malaysia yang diimport semula dan terjejas akibat gangguan global pada ketika ini.
Sementara itu, Presiden ACCCIM, Datuk Ng Yih Pyng berkata, pihaknya akan mengumpulkan maklum balas serta cadangan daripada sesi tersebut untuk dikemukakan segera kepada kementerian yang berkaitan.
Pihaknya ujar beliau, turut memainkan peranan dalam menyuarakan keperluan komuniti perniagaan bagi merangka dasar yang mampu mengurangkan kos operasi dan pematuhan, khususnya bagi pemain PKS.
“Kenaikan harga minyak pada tempoh kritikal ini merupakan cabaran luaran berskala besar dan memerlukan tindak balas dasar yang terselaras serta praktikal,” katanya. - DagangNews.com








