KUALA LUMPUR 21 Mei - Denza Malaysia melancarkan rasmi model B8, sekali gus memperkenalkan kenderaan pertama yang dilengkapi penggunaan teknologi 'DMO Super Hybrid' di pasaran Malaysia.
Kenderaan utiliti sukan (SUV) mewah ini ditawarkan dalam dua varian, iaitu Premium dengan enam tempat duduk pada harga RM518,800, dan Dynamic mengandungi tujuh tempat duduk berharga RM458,800.
Pengarah Urusan BYD Malaysia, Jacob Ma berkata, pelancaran B8 merupakan pencapaian penting jenama itu memperluaskan rangkaian mobiliti baharu bagi memenuhi keperluan pelanggan yang dinamik.
"Kami bukan sahaja menumpukan kenderaan elektrik (EV) sepenuhnya, tetapi juga komited menawarkan banyak pilihan menerusi teknologi maju, serta pengalaman yang premium," katanya dalam kenyataan.

Jelasnya, model berprestasi tinggi ini menggunakan platform DMO Super Hybrid dengan enjin turbo 2.0 liter dan dua motor elektrik yang mampu menjana kuasa gabungan mencecah 450kW dan 760Nm tork.
Ia turut menawarkan jarak pemanduan elektrik sehingga 115 kilometer (km), manakala jumlah jarak pemanduan keseluruhan mencecah 1,040km dengan bantuan tangki bahan api berkapasiti 91 liter.
Selain itu, ia dilengkapi sistem casis pintar, DiSUS-P Intelligent Hydraulic Body Control yang membolehkan pelarasan ketinggian sehingga 140mm serta kemampuan meredah air sehingga 890mm.
"Kami juga menampilkan kabin premium kulit Nappa, sistem audio Devialet® 18 pembesar suara, dan kerusi barisan kedua memiliki fungsi pengaliran udara serta urutan bagi varian premium," katanya.

Dari aspek pengecasan, model ini menyokong pengecasan pantas arus terus (DC) sehingga 120kW yang membolehkan bateri dicas dari 30 peratus kepada 80 peratus dalam tempoh 16 minit sahaja.
SUV itu juga dilengkapi fungsi 'Vehicle to Load' (V2L) 6.6kW untuk penggunaan kuasa luaran, selain bateri voltan tinggi dan unit pacuan dilindungi oleh waranti selama lapan tahun atau 160,000km.
Denza B8 hadir dengan pakej pemilikan menyeluruh termasuk waranti kenderaan selama enam tahun atau 150,000km serta servis penyelenggaraan berjadual percuma selama enam tahun bernilai RM10,000.
Orang ramai boleh menyaksikan DENZA B8 secara dekat di beberapa lokasi pameran termasuk Bangsar Shopping Centre dan Pavilion Bukit Jalil bermula 22 hingga 24 Mei 2026. - DagangNews.com








