Denda ditangguh beri Leong Hup, PPB Group nafas lega risiko kewangan jangka pendek - penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Denda ditangguh beri Leong Hup, PPB Group nafas lega risiko kewangan jangka pendek - penganalisis

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 3 Okt – Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan semakan kehakiman, memberi nafas lega kepada empat syarikat pemprosesan makanan ternakan tempatan.


Antaranya, Leong Hup Feedmill Malaysia Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Leong Hup International Berhad (LHIB) dan FFM Berhad, yang merupakan anak syarikat 80% dimiliki oleh PPB Group Berhad.


Menurut MBSB Research, penangguhan pelaksanaan denda keseluruhan berjumlah RM367 juta dikenakan oleh Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), turut menurunkan risiko kewangan syarikat terbabit.


"Kami melihat keputusan ini sebagai perkembangan positif dalam menguruskan risiko perundangan dan memberi ruang kepada syarikat terutama Leong Hup dan PPB Group," kata firma itu dalam notanya.


Semua syarikat tersebut didapati bersalah kerana melanggar Seksyen 4 Akta Persaingan 2010 dengan didakwa terlibat sebagai kartel dalam perjanjian penetapan seragam harga makanan ayam ternakan.


Leong Hup dan PPB Group sebelum ini secara terbuka menolak dakwaan MyCC serta menyifatkan tuduhan itu sebagai tidak berasas dan menegaskan yang mereka tidak melanggar undang-undang persaingan.


Artikel berkaitan: Leong Hup, Malayan Flour Mills, PPB Group, Gold Coin dibenar tangguh keputusan denda MyCC berjumlah RM367 juta


Mengulas lanjut, MBSB Research berkata, penangguhan hukuman berkenaan melegakan dua syarikat tersebut daripada kebimbangan tekanan pengurusan kecairan aliran tunai dalam jangka pendek.


"Bagaimanapun ia juga berpotensi memberi kesan kepada keuntungan jika denda diteruskan dengan Leong Hup boleh merosot sehingga 27.1% pada FY25 atau 25.7% pada FY26," kata firma itu lagi.


Sementara PPB Group pula jelasnya, kemungkinan mengalami kesan yang lebih terkawal, apabila diramal hanya merosot kira-kira 4.1% pada FY25 atau susut keuntungan sebanyak 2.4% pada FY26.


Memandangkan penangguhan itu meredakan kejutan kewangan jangka pendek dan risiko peraturan sudah diambil kira dalam penilaian semasa, MBSB Research mengekalkan unjuran hasil dua syarikat ini.


"Kami juga tidak ubah saranan 'beli' bagi kedua-dua saham dengan harga sasaran masing-masing diunjur 90 sen kepada Leong Hup, manakala PPB Group RM11.02," kata firma itu lagi. - DagangNews.com