KUALA LUMPUR 14 Nov – Deleum Berhad menjelaskan yang anak syarikatnya, PT OSA Industries Indonesia (OSAII) ada menjalankan transaksi berulang dengan pihak berkaitan (RRPT) berjumlah RM9.981 juta.
Menurut syarikat penyedia rumusan perkhidmatan industri minyak dan gas (O&G) tersebut, urus niaga komersial berkenaan dilaksanakan dalam tempoh lima bulan sahaja dari 3 Jun hingga 31 Oktober 2025.
RRPT itu jelas kumpulan tersebut, melibatkan penyediaan produk injap dan bukan injap, termasuk pelbagai alat ganti, bahan habis pakai, serta perkhidmatan kejuruteraan, pembaikan dan sokongan oleh OSAII.
"Ia diserahkan kepada pengedar sah OSAII di Indonesia, PT OSA Megah Indonesia (OSAMI) dengan Erik Aristino merupakan pemegang saham utama OSAII," kata Deleum dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
Individu berkenaan sendiri tambahnya, mempunyai sebanyak 30% dalam OSAII dan pemegang saham utama OSAMI iaitu kira-kira 90%, dengan memang memiliki kepentingan secara langsung untuk transaksi tersebut.
Bagaimanapun, Deleum turut menegaskan yang RRPT berkenaan dijalankan mengikut dasar komersial secara adil dan normal, di samping adalah selaras dengan kepentingan operasi harian kumpulan itu.
Pada masa yang sama kata kumpulan tersebut, transaksi itu tidak memberi kesan material kepada aset bersih per saham, keuntungan sesaham, modal terbitan, atau pemegangan saham pemegang saham utama.
"Jawatankuasa Audit Deleum sendiri sudah menilai proses RRPT ini dengan menyatakan ia sebagai adil, wajar, dan tidak merugikan kepentingan para pemegang saham minoriti syarikat," kata kenyataan itu.
Pihak pengurusan kumpulan berkenaan namun bersedia memohon mandat daripada pemegang saham pada Mesyuarat Agung Luar Biasa yang akan datang bagi membolehkan RRPT itu dapat diteruskan lagi.
Transaksi ini juga tambah Deleum, menandakan kesinambungan operasi syarikat itu di pasaran Indonesia dan memperkukuh hubungan perniagaan terus dengan pengedar tempatan. - DagangNews.com








