Deleum ambil alih MPC Future bernilai RM60 juta, perkukuh portfolio O&G di Thailand | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Deleum ambil alih MPC Future bernilai RM60 juta, perkukuh portfolio O&G di Thailand

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 16 Jun — Deleum Berhad menerusi anak syarikat tidak langsungnya, Deleum Oilfield Solutions (Thailand) Co Ltd (DOST) mengambil alih MPC Future Co Ltd (MPC) dengan jumlah nilai pertimbangan RM60 juta.


Kumpulan penyedia perkhidmatan minyak dan gas (O&G) itu berkata, langkah tersebut diperoleh melalui pemeteraian perjanjian jual beli melibatkan proses gabungan pembayaran secara tunai dan terbitan saham baharu dalam DOST.


Perkembangan tersebut menyebabkan Deleum memegang 49.93% kepentingan dalam firma Thailand itu manakala MPC menjadi 48.34% dan setelah diselesaikan, DOST kekal sebagai anak syarikat milik tidak langsung Deleum.


"Usaha pengambilalihan terbaharu ini turut sejajar dengan strategi Deleum sendiri untuk mengukuhkan lagi jejak serantaunya di ASEAN dan meningkatkan tawaran perkhidmatannya di luar Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.


Pemerolehan berkenaan tambah Deleum, dijangka selesai dalam tempoh separuh kedua 2025, kecuali sekiranya berlaku keadaan yang tidak dijangka dan setelah ia berjaya memenuhi syarat-syarat dikenal pasti lebih awal. 


Pengambilalihan tersebut juga katanya, membolehkan ia memperoleh perniagaan serta pelbagai aset operasi yang berkaitan dengan termasuk kerja-kerja hidraulik dan perkhidmatan penyelenggaraan kepala telaga O&G.


Selain itu tambah Deleum, pemerolehan secara strategik di Thailand, turut membantu kumpulan tersebut mengembangkan perniagaan perkhidmatan medan minyak di negara berkenaan selepas Indonesia. - DagangNews.com