KUALA LUMPUR 24 Mac - Defisit fiskal Malaysia menurun daripada 5.5 peratus pada 2022 kepada 5.0 peratus pada 2023, yang mencerminkan langkah konsolidasi fiskal secara berterusan dilaksanakan kerajaan.
Perkara tersebut ditegaskan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan ketika berucap pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2024) 2025 di Dewan Negara hari ini bagi menjawab soalan daripada beberapa senator.
Malah kata beliau, pada 2024, penurunan defisit fiskal adalah lebih baik berbanding sasaran Belanjawan 2024, dengan defisit dicatatkan pada 4.1 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), lebih rendah berbanding unjuran awal sebanyak 4.3 peratus.
"Ini turut selari dengan pengurusan hutang lebih berhemat dan pertambahan hutang baharu berkurang daripada RM92.6 bilion pada 2023 kepada RM77 bilion pada 2024, menunjukkan kerajaan kekal dalam menyeimbangkan keperluan pembangunan dengan kebertanggungjawaban fiskal," katanya.
Kerajaan kata Amir Hamzah, terus komited untuk mengurangkan kadar defisit Malaysia dengan unjuran sebanyak 3.8 peratus pada 2025 dan seterusnya ke arah mencapai komitmen serendah hanya tiga peratus daripada KDNK untuk disasarkan selewat-lewatnya menjelang hujung 2028.
Selaras usaha pengurangan defisit tambahnya, ia mengurangkan pertumbuhan jumlah hutang dengan dikurangkan peminjaman hutang baharu setiap tahun oleh kerajaan daripada hampir RM100 bilion pada 2022 kepada RM92.6 bilion pada 2023; seterusnya kepada sekitar RM77 bilion pada 2024.
Trend penurunan ini katanya, menunjukkan komitmen kerajaan memastikan nisbah hutang kepada KDNK tidak lebih 60 peratus dan defisit fiskal pada kadar 3 peratus dicapai dalam tempoh jangka sederhana seperti ditetapkan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal (FRA) 2023.
"Oleh itu, secara umumnya, kita berada di landasan bagi pencapaian ketetapan yang digariskan dalam FRA pada hujung tahun 2028 bermula dengan mencapai defisit 3 peratus," kata Amir Hamzah yang turut menyentuh antara strategi kerajaan dalam pengurangan defisit fiskal setiap tahun.
Beliau memberi contoh Belanjawan 2025 apabila projek secara usaha sama awam dan swasta (PFI) bernilai RM9 bilion tetap dilaksanakan di samping komitmen pelaburan langsung domestik daripada pelbagai syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) sebanyak RM25 bilion.
Amir Hamzah turut mengulangi pendirian bahawa kerajaan komited untuk mengurangkan nisbah hutang kepada KDNK secara beransur-ansur dalam tempoh jangka masa sederhana seperti yang disasarkan di bawah FRA 2023 dan telah berkuat kuasa mulai 1 Januari 2024.
Ke arah mencapai kedudukan fiskal yang mampan, kerajaan akan sentiasa terus memperkukuh kedudukan fiskal melalui beberapa langkah utama, termasuk sistem percukaian menerusi perluasan asas cukai serta peningkatan pematuhan, seperti Cukai Keuntungan Modal dan Cukai Perkhidmatan.
"Di samping itu, usaha untuk menggalakkan pelaburan hijau dan ekonomi digital turut diberi penekanan, termasuk insentif khas untuk sektor tenaga yang boleh diperbaharui dan teknologi tinggi," kata Amir Hamzah. - DagangNews.com








