Defisit fiskal kerajaan pada 2026 terkawal ketika pertumbuhan ekonomi perlahan – CIMB Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Defisit fiskal kerajaan pada 2026 terkawal ketika pertumbuhan ekonomi perlahan – CIMB Securities

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 19 Sept – Usaha kerajaan mengecilkan defisit fiskal kekal berada di landasan betul walaupun pertumbuhan ekonomi negara dijangka lebih perlahan tahun depan, menurut CIMB Securities.


Firma penyelidikan tersebut mengunjurkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi 2026 menyederhana kepada hanya kira-kira 4.1% berbanding ramalan sebelum ini sebanyak 4.5%. 


Bagaimanapun ia yakin kerajaan mampu mengurus kewangan awam secara berhemat, sebagaimana yang diamalkan kecuali dalam situasi luar biasa seperti krisis kewangan 2008 dan pandemik Covid-19.


"Belanjawan 2026 dijangka terus menyokong pertumbuhan negara ini sambil mengekalkan hala tuju konsolidasi fiskal kerajaan,"* kata CIMB Securities dalam nota penyelidikan terbaharunya hari ini.


Selain itu tambah firma berkenaan, ia mengunjurkan defisit fiskal 2026 mengecil kepada 3.6% daripada KDNK, berbanding 3.8% pada 2025, selari dengan rancangan pengurangan fiskal kerajaan.


Firma itu turut menjangka satu lagi penurunan kadar dasar semalaman (OPR) oleh Jawatankuasa Dasar Monetari di bawah Bank Negara Malaysia (BNM) pada awal 2026 bagi merangsang pertumbuhan ekonomi.


Hasil kerajaan pula kata CIMB Securities dijangka meningkat sebanyak 4% kepada RM353.3 bilion pada 2026, dipacu banyak faktor antaranya pelaksanaan perluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).


"Begitu juga sistem e-invois, pematuhan cukai yang lebih ketat, cukai dosa dijangka lebih tinggi, serta cukai karbon secara berperingkat, melibatkan industri besi, keluli dan tenaga," katanya.


Peningkatan hasil kerajaan ini jelas firma penyelidikan berkenaan, dijangka dapat mengimbangi situasi penyusutan pendapatan daripada sumber minyak dan dividen Petronas yang lebih rendah.


Dalam pada itu, kata CIMB Securities, perbelanjaan mengurus kerajaan dijangka meningkat 3.9% kepada RM348.1 bilion, sebahagian besarnya disebabkan oleh fasa kedua kenaikan gaji penjawat awam.


Ia bermula Januari 2026, melibatkan kos RM8 bilion, namun pelaksanaan pembaharuan subsidi bahan api, seperti subsidi bersasar RON95 dan pelan rasionalisasi diesel dijangka menjana penjimatan.


"Justeru, kami ramal pemindahan tunai melalui Sumbangan Asas Rahmah (Sara) dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) meningkat kepada RM17 bilion pada 2026, berbanding RM15 bilion tahun ini," katanya.


Sementara itu, perbelanjaan pembangunan kata CIMB Securities, diunjur meningkat kepada RM87 bilion pada 2026 daripada RM86 bilion pada 2025, dengan tumpuan kepada projek berimpak tinggi tertentu.


Antaranya infrastruktur pengangkutan iaitu LRT Mutiara di Pulau Pinang, Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ), projek tebatan banjir berskala besar serta pendigitalan dan inisiatif hijau.


Sektor pelancongan pula tambah firma itu, dijangka mendapat manfaat menerusi pelaksanaan Tahun Melawat Malaysia 2026 dengan sasaran 35.6 juta pelawat asing dan menjana hasil RM147.1 bilion.


"Pelaksanaan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP), Pelan Peralihan Tenaga Nasional (NETR) dan Strategi Semikonduktor Nasional akan memacu nilai industri yang berkaitan," kata CIMB Securities.


Kerajaan juga jelasnya, dijangka memperuntukkan sokongan kepada sektor perumahan mampu milik dan industri terkesan oleh tarif Amerika Syarikat (AS) melalui Belanjawan 2026. - DagangNews.com