Dayang diyakini catat pertumbuhan hasil 13% pada 2026 disokong tunai bersih RM261 juta – Phillip Capital | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Dayang diyakini catat pertumbuhan hasil 13% pada 2026 disokong tunai bersih RM261 juta – Phillip Capital

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 6 JanPhillip Capital menjangka Dayang Enterprise Holdings Berhad mencatatkan pertumbuhan hasil sehingga 13% pada 2026, disokong oleh faktor kedudukan kewangan yang kukuh.


Firma penyelidikan tersebut berkata, ketika ini kumpulan berpangkalan di Miri, Sarawak itu memiliki tunai bersih RM261 juta, dan diunjur bertambah lagi susulan pelbagai projek baharu yang akan diterima.


Berdasarkan perkembangan cukup positif berkenaan, ia terus mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran dalam tempoh 12 bulan akan datang yang juga masih tidak berubah kepada RM2.01 sesaham.


"Pertumbuhan hasil Dayang diunjur datang daripada banyak kontrak jangka panjang berbilang tahun bersama-sama ramai pemain utama industri minyak dan gas (O&G)," jelas Phillip Capital dalam notanya.


Antaranya daripada PETRONAS Carigali Sdn Bhd, yang memberikan keterlihatan pendapatan sehingga 2027, manakala tahap keupayaan operasi armada kapal kumpulan berkenaan juga dalam keadaan baik.


Kata firma itu, kapal kerja penginapan 4-titik berkapasiti 199 orang, Dayang Opal yang beroperasi di bawah kontrak 3+3 tahun dengan Petronas Carigali, membuktikan prestasi semasa kumpulan tersebut.


Phillip Capital menambah, penyelesaian kemelut PETRONAS dengan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) dijangka membolehkan projek penyelenggaraan, pembinaan dan pengubahsuaian disambung semula.


"Langkah ini sekali gus diyakini meningkatkan aktiviti luar pesisir dan kadar penggunaan kapal dikendalikan Dayang yang kini berjumlah 21 buah termasuk 14 menerusi Perdana Petroleum Berhad," katanya.


Kumpulan berkenaan juga jelasnya, akan memulakan program pembaharuan armada pada 1Q26, termasuk penggantian Dayang Pertama yang berusia 20 tahun dengan kapal baharu berkapasiti 238 katil.


Model terkini itu tambah Phillip Capital, bernilai RM130 juta, dan armada lebih muda dijangka meningkatkan kebolehpercayaan operasi, kecekapan bahan api serta mengurangkan kos penyelenggaraan.


Justeru firma tersebut mengunjurkan pertumbuhan pendapatan antara 13% hingga 37% bagi 2026 dan 2027, yang menyokong prospek dividen stabil sekitar 6%, berikutan aliran tunai operasi yang kukuh.


"Pada penilaian semasa, saham Dayang diniagakan dengan nisbah harga kepada pendapatan (PER) hadapan kira-kira 8 kali bagi 2026, lebih rendah daripada sasaran 10 kali," kata firma penyelidikan itu.


Situasi itu jelas Phillip Capital, menjadikannya menarik dari segi ganjaran, namun cabaran utama termasuk kelewatan kerja, kejatuhan kadar sewaan kapal dan peningkatan kos operasi. - DagangNews.com