Daya tarikan dividen REIT mula lemah, pelabur perlu cari alternatif lain - MBSB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Daya tarikan dividen REIT mula lemah, pelabur perlu cari alternatif lain - MBSB Research

Foto kredit Facebook rasmi Malaysian REIT Managers Association
Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 8 Okt – Daya tarikan hasil dividen amanah pelaburan hartanah (REIT) kini semakin lemah ekoran lonjakan harga saham syarikat terbabit mengurangkan pulangan relatif kepada pelabur.


Menurut MBSB Research, situasi pudar itu masih berlaku walaupun indeks REIT Bursa Malaysia (BM REIT) mencatat prestasi cemerlang dengan pulangan tahun-ke-tarikh (YTD) mencecah sebanyak 9.0%.


Firma itu mengekalkan saranan 'neutral' terhadap sektor REIT dan menyeru pelabur mencari alternatif pelaburan berdividen yang lebih menarik, khususnya ketika persekitaran kadar faedah terus berubah.


"Kami mendapati hasil dividen terkini REIT Malaysia sebenarnya sudah susut ke paras purata 4.5%, berbanding pulangan sebelumnya yang lebih menarik," kata firma penyelidikan itu dalam notanya.


Lebih membimbangkan tambah MBSB Research, jurang antara hasil dividen agregat BM REIT dan hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) 10 tahun kini menyempit di bawah purata jangka panjangnya.


Keadaan yang kurang menggalakkan tersebut jelas firma berkenaan, menjadikan pasaran sektor REIT di Malaysia dinilai sebagai kurang kompetitif dari sudut risiko kepada pulangan untuk pelaburnya.


“Kami berpandangan penurunan ‘yield spread’ atau perbezaan kadar pulangan antara pelaburan berbeza akan mengehadkan potensi kenaikan harga unit REIT, walaupun unjuran asas kekal stabil,” katanya.


Sektor REIT kata MBSB Research, namun terus disokong oleh pemulihan sewa dan pengukuhan permintaan runcit dan komersial dengan prospek harga sahamnya kemungkinan terhad dalam jangka masa terdekat.


Situasi berkenaan jelasnya, bagaimanapun boleh berubah apabila berlaku pelarasan semula harga yang meningkatkan hasil dividen kepada tahap lebih kompetitif dalam tempoh pendek atau sederhana.


Sebagai alternatif, firma itu mencadangkan pelabur menumpukan kepada saham yang memenuhi kriteria hasil dividen tinggi dan stabil sekurang-kurangnya 5%, serta rekod keuntungan selama lima tahun.


"Kami juga menasihatkan pelabur memilih syarikat dengan modal pasaran melebihi RM500 juta, dan
harga saham didapati mampu untuk melepasi purata pergerakan mudah 200 hari," kata MBSB Research.


Dalam suasana pelaburan semasa, pelabur tidak seharusnya hanya bergantung semata-mata kepada REIT untuk pulangan pendapatan kerana pasaran kini menawarkan banyak peluang lain yang lebih menarik.


Secara keseluruhan kata firma penyelidikan itu, meskipun sektor REIT masih menawarkan kestabilan jangka panjang, penurunan daya tarikan hasil dividen mengubah dinamik pelaburan dalam sektor ini. 


MBSB Research menyarankan pelabur mula mempelbagaikan pegangan ke sektor lain yang menawarkan kombinasi kukuh antara hasil dividen, pertumbuhan, dan prestasi harga mampan. - DagangNews.com