KUALA LUMPUR 23 Jan - Eksport Malaysia diyakini berkembang sebanyak 5.3% pada 2025, manakala import pula diunjur menaik 5.6% seiring dengan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak 5%, kata CIMB Securities.
Firma penyelidikan itu berkata, walaupun tekanan geo-politik yang mungkin menjejaskan prospek perdagangan luar Malaysia, tetapi kedudukan strategik negara dan langkah dasar proaktif dijangka mampu memberi peluang untuk memanfaatkan perdagangan global.
“Bagi keseluruhan 2024, Malaysia mencatatkan pertumbuhan eksport sebanyak 5.7% dan pertumbuhan import sebanyak 13.2%, melebihi ramalan kami masing-masing sebanyak 5% dan 12.8%.
“Peningkatan dalam pertumbuhan perdagangan pada Disember 2024 menandakan kekuatan berterusan dalam perdagangan pembuatan, yang mungkin meningkatkan pertumbuhan KDNK 4Q24 Malaysia, yang kini dianggarkan pada 4.8% tahun ke tahun (YoY).
"Tinjauan perdagangan luar Malaysia kekal disokong oleh pemulihan berterusan dalam permintaan global di tengah-tengah kitaran tinggi teknologi dan pelonggaran dasar monetari global yang mungkin akan berlanjutan hingga 2025, walaupun terdapat potensi halangan tarif daripada dasar perlindungan Amerika Syarikat (AS)," katanya dalam satu nota penyelidikan.
Bagi Disember 2024, eksport Malaysia melantun semula sebanyak 16.9% YoY berbanding 3.8% pada November 2024, mengatasi jangkaan pasaran.
Ini didorong oleh aktiviti muatan hadapan menjelang tarif yang berpotensi sebelum pelantikan Donald Trump sebagai Presiden AS ke-47 pada 20 Januari 2025.
Sementara itu, Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB Research) mengekalkan unjuran pertumbuhan KDNK 2025 pada 4.9% YoY.
Firma itu berkata, prospek perdagangan global kekal tijak jelas dan keadaan ekonomi yang masih tidak menentu, terutamanya berikutan kemungkinan perubahan dasar perdagangan.
"Walau bagaimanapun, prestasi eksport Malaysia dijangka sebahagiannya disokong oleh pendirian neutralnya, struktur eksport yang pelbagai, dan potensi lencongan perdagangan di tengah-tengah perang perdagangan AS-China," katanya. - DagangNews.com








