KUALA LUMPUR 7 Mei – Langkah kerajaan memperketat syarat terhadap kenderaan elektrik (EV) model import sepenuhnya (CBU) mulai 1 Julai 2026 dijangka memberi tekanan kepada Sime Darby Berhad.
Menurut RHB Research, model-model popular BYD yang dipasarkan kumpulan tersebut berisiko terkesan langsung akibat dasar baharu diumumkan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) itu.
Bagaimanapun, firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' terhadap sahamnya dengan harga sasaran (TP) RM2.55 sesaham, mewakili potensi kenaikan sekitar 16% selain pulangan dividen kira-kira 6%.
“Dengan cukai sekitar 25% bagi EV dari China, harga atas jalan (OTR) dijangka mencecah sekurang-kurangnya RM250,000, dan ini belum termasuk lagi margin pengedar,” katanya dalam nota analisis.
RHB Research berkata, kebanyakan EV di Malaysia ketika ini dijual pada harga murah, namun syarat baharu itu menjejaskan segmen pasaran massa yang menjadi pemacu utama pertumbuhan EV negara.
Ujarnya, daripada 20 model EV paling laris di Malaysia, hanya lima model yang dilihat tidak akan terkesan dengan polisi berkenaan dan dua daripadanya ialah model tempatan, Proton e.MAS 5 serta e.MAS 7.
Langkah MITI tersebut jelasnya, turut memberi isyarat yang pemain industri seolah-olah dipaksa melaksanakan pemasangan tempatan (CKD) sekiranya mahu terus bersaing dalam pasaran EV domestik.

"Bagi Sime Darby, kesannya dijangka lebih ketara memandangkan BYD menyumbang sekitar 38% daripada jumlah keseluruhan jualan divisyen motor syarikat pada tahun kewangan 2025," kata RHB Research.
Pada FY25, BYD merekodkan jualan sebanyak 10,271 unit, dan jika jumlah yang sama hilang dalam FY26 hingga FY28, firma tersebut menganggarkan pendapatan kumpulan itu boleh susut sekitar 6% setahun.
Tambahnya, kebanyakan model BYD ketika ini berada di bawah paras minimum ditetapkan MITI, sekali gus mengurangkan insentif kumpulan tersebut untuk terus agresif memasarkan jenama itu di Malaysia.
Situasi berkenaan ujar RHB Research, dijangka menimbulkan dua tekanan utama kepada kumpulan iaitu penyusutan jumlah jualan serta mampatan margin keuntungan selepas berkuat kuas pada 1 Julai 2026.
"Bagaimanapun, kami masih positif terhadap Sime Darby kerana percaya segmen perindustrian kekal menjadi pemacu utama keuntungan selain potensi pemulihan operasi di China sendiri," katanya lagi.
Pada masa sama jelas firma penyelidikan tersebut, saham kumpulan itu ketika ini turut didagangkan pada penilaian menarik iaitu sekitar satu sisihan piawai di bawah purata sejarah lima tahun.
Ia juga tidak menolak kemungkinan ada rundingan lanjut antara pemain industri dan kerajaan kerana perubahan dasar itu boleh menjejaskan sasaran Malaysia mencapai 20% jualan EV menjelang 2030.
Antara risiko utama diperhatikan RHB Research termasuk margin keuntungan lemah daripada jangkaan, jualan kenderaan yang perlahan dan kelembapan berpanjangan ekonomi China. - DagangNews.com








