Dasar awan Malaysia diyakini raih ekonomi digital RM110 bilion pada 2030 - Gobind | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Dasar awan Malaysia diyakini raih ekonomi digital RM110 bilion pada 2030 - Gobind

GOBIND Singh Deo (tiga dari kiri) bergambar selepas melancarkan Dasar Pengkomputeran Awan Negara (NCCP) di Kuala Lumpur hari ini. - Foto ihsan Kementerian Digital
Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 13 Ogos — Kerajaan menyasar Malaysia menjadi hab digital dan pengkomputeran awan bertaraf dunia menjelang 2030 dengan berpotensi meraih ekonomi digital yang mencecah RM110 bilion.

 

Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, pelancaran Dasar Pengkomputeran Awan Negara (NCCP) hari ini membuktikan keseriusan kerajaan dalam menjana peluang pertumbuhan baharu kepada seluruh rakyat.

 

Katanya, kajian Bank Pembangunan Asia mengunjurkan, walaupun peningkatan satu peratus penggunaan awan boleh menyumbang RM10.5 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia.

 

“Melangkah ke hadapan, dengan strategi awan dari 2024 hingga 2028 dipercepatkan, Malaysia berpotensi membuka kunci tambahan RM110 bilion dalam nilai ekonomi,” kata beliau pada pelancaran NCCP hari ini.

 

Gobind menambah, polisi tindakan strategik itu memacu ekosistem digital berdaulat, selamat, inklusif dan mampan, meletakkan Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama dalam ekonomi digital serantau.

 

Beliau berkata, dasar itu menyokong objektif MyDigital dan Pelan Tindakan Ekonomi Digital Malaysia, bukan sahaja dengan menetapkan hala tuju strategik tetapi dengan membuka potensi ekonomi sebenar.

 

NCCP memacu pelaburan teknologi awan, meningkatkan daya saing perniagaan, terutama perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), serta mewujudkan persekitaran bisnes kondusif bagi memacu inovasi.

 

Gobind
GOBIND Singh Deo (tengah) menekan butang sebagai gimik ketika melancarkan Dasar Pengkomputeran Awan Negara (NCCP) di Kuala Lumpur hari ini. - Foto ihsan Kementerian Digital

 

"Angka sasaran RM110 bilion ini bukan sekadar statistik tetapi ia mewakili peluang pekerjaan baharu, potensi perniagaan lebih besar dan daya tahan ekonomi kukuh untuk negara kita sendiri," kata Gobind.

 

Sebelum ini tambahnya, inisiatif awan di Malaysia dilaksanakan secara silo, dengan banyak kelemahan apabila mewujudkan risiko negara ini ketinggalan dalam ekonomi digital global yang berkembang pesat.

 

Justeru, NCCP katanya, menangani jurang itu dengan pendekatan luas seluruh negara, menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan, sektor swasta, penyedia perkhidmatan awan, ahli akademik dan masyarakat.

 

Menurut Gobind, NCCP berteraskan transformasi sektor awam, pertumbuhan sektor swasta, keselamatan data, rangkuman digital dan kemampanan alam sekitar serta rangka kerja lengkap ekosistem digital.

 

"Ia bukan sekadar agenda teknologi. Ia agenda ekonomi. Pelaburan pusat data hijau, infrastruktur awan dan keselamatan siber mengukuhkan kedaulatan digital sambil meningkatkan KDNK," kata beliau.

 

Di luar pertumbuhan ekonomi, katanya, NCCP memberikan manfaat ketara kepada rakyat, daripada akses saksama teknologi kepada penciptaan pekerjaan berkemahiran tinggi berdaya saing di peringkat global.

 

Kementerian Digital kata Gobind, menyeru semua pihak berkepentingan bekerjasama melaksanakan NCCP secara sepadu, memastikan Malaysia sebagai pemain dalam ekonomi digital global. - DagangNews.com