DagangHalal.com perkenal rumusan pembayaran antarabangsa melalui kerjasama dengan ONEPIP | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

DagangHalal.com perkenal rumusan pembayaran antarabangsa melalui kerjasama dengan ONEPIP

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 23 Jan - Pasaran e-dagang B2B halal terbesar di dunia, DagangHalal.com, memperkasakan perniagaan halal untuk berkembang di pasaran global melalui kerjasama strategik dengan ONEPIP, penyedia rumusan kiriman wang global yang terkenal.

 

Kerjasama itu akan menyediakan rumusan pembayaran antarabangsa yang lancar, selamat dan kos efektif yang disesuaikan dengan keperluan unik ekosistem perdagangan halal.

 

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) DagangHalal.com, Sam Hwang berkata, kerjasama tersebut adalah langkah penting untuk menghapuskan halangan dalam perdagangan antarabangsa bagi perniagaan halal.

 

"Dengan menyepadukan rumusan pembayaran kukuh daripada ONEPIP, kami menyediakan alat yang diperlukan kepada ahli kami untuk memperluaskan jangkauan mereka dan bersaing di peringkat global," katanya dalam satu kenyataan.

 

Perjanjian itu selaras dengan misi DagangHalal untuk meningkatkan perdagangan merentas sempadan dan mencipta peluang untuk ahli-ahlinya dalam pasaran halal global yang semakin berkembang, yang dijangka mencapai RM14.54 bilion menjelang 2028.

 

Melalui kerjasama berkenaan, ahli DagangHalal dapat menikmati kadar pertukaran yang kompetitif, perkhidmatan pembayaran pantas dan selamat, sistem yang dipermudahkan untuk membuat pembayaran antarabangsa, jangkauan global dan kepakaran serta rangkaian luas ONEPIP yang memastikan rumusan kewangan yang boleh dipercayai.

 

CEO Kumpulan ONEPIP, Lee En Hui berkata, kerjasama dengan DagangHalal mencerminkan visi bersama untuk mempermudah transaksi kewangan merentas sempadan.

 

"Dengan kepakaran kami dan rangkaian luas DagangHalal, kami yakin dapat memberikan nilai yang tiada tandingan kepada perniagaan halal di seluruh dunia," jelasnya.

 

Perkongsian tersebut dibuat ketika Malaysia mengukuhkan kedudukannya sebagai hab halal global yang disokong oleh inisiatif kerajaan seperti peruntukan RM600 juta dalam Belanjawan 2025 untuk pembiayaan pensijilan halal dan penyeragaman proses pensijilan halal.

 

Sehingga kini, DagangHalal telah memainkan peranan penting dalam menghubungkan perusahaan kecil & sederhana (PKS) Malaysia dengan pasaran global, termasuk negara-majoriti Muslim dan pasaran halal yang sedang berkembang seperti Asia Barat dan Afrika Utara.

 

Kerjasama dengan ONEPIP akan meningkatkan tawaran DagangHalal, memastikan ahli-ahlinya dapat meneroka pasaran global dengan cekap, sambil mengatasi halangan pembayaran.

 

Kerjasama berkenaan turut menekankan komitmen DagangHalal dalam memajukan pertumbuhan ekonomi halal dengan mengatasi cabaran perdagangan global utama. 

 

Ahli-ahli kini dapat memberi tumpuan untuk memperluaskan jangkauan, membina jenama  dan menyumbang kepada industri halal global yang berkembang pesat. - DagangNews.com