Dagangan Malaysia bernilai RM237.8 bilion pada November 2024, eksport naik 4.1% cecah RM126.6 bilion - DOSM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Dagangan Malaysia bernilai RM237.8 bilion pada November 2024, eksport naik 4.1% cecah RM126.6 bilion - DOSM

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 27 Dis - Malaysia mencatatkan jumlah perdagangan bernilai RM237.8 bilion pada November 2024 dengan eksport dan import masing-masing bernilai RM126.6 bilion dan RM111.3 bilion, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Menurut laporan Statistik Eksport Import Mengikut Negeri November 2024, Pulau Pinang, Johor, Selangor, Sarawak, dan Kuala Lumpur mendominasi eksport Malaysia, menyumbang 83.8% daripada jumlah keseluruhan pada November 2024.

 

Ketua perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata eksport, bernilai RM126.6 bilion pada November 2024, meningkat RM5.0 bilion atau 4.1% berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

 

Pulau Pinang kekal sebagai pengeksport teratas dengan bahagian 36.4%, diikuti oleh Johor (18.4%), Selangor (17.3%), Sarawak (7.9%), dan Kuala Lumpur (3.8%).

 

DOSM

 

Beliau berkata peningkatan eksport itu disumbangkan oleh eksport yang lebih tinggi di kebanyakan negeri, termasuk Pulau Pinang (+RM10.7 bilion), Perak (+RM373.5 juta), Labuan (+RM258.8 juta), Selangor (+RM46.8 juta), Melaka (+RM18.0 juta), dan Perlis (+RM3.6 juta).

 

“Bagaimanapun, eksport menurun di Kuala Lumpur sebanyak RM2.0 bilion, Johor (-RM1.9 bilion), Kedah (-RM1.0 bilion), Sabah (-RM390.2 juta), Terengganu (-RM353.7 juta), Pahang (-RM262.0 juta), Negeri Sembilan (-RM217.7 juta), Sarawak (-RM180.3 juta), dan Kelantan (-RM20.1 juta),” katanya.

 

Sementara itu, Mohd Uzir berkata, import pada November 2024 meningkat RM1.8 bilion (1.6%), bernilai RM111.3 bilion, berbanding bulan sama pada 2023. Peningkatan import itu disumbangkan oleh import yang lebih tinggi di kebanyakan negeri, termasuk Pulau Pinang (+RM5.4 bilion), Johor (+RM499.2 juta), Labuan (+RM232.1 juta), Kedah (+RM158.3 juta), Kelantan (+RM57.4 juta), Perlis (+RM53.6 juta), dan Terengganu (+RM52.4 juta).

 

Beliau berkata, import di Negeri Sembilan menyusut sebanyak RM1.3 billion diikuti oleh Kuala Lumpur (-RM1.1 bilion), Melaka (-RM746.4 juta), Pahang (-RM706.6 juta), Sarawak (-RM625.8 juta), Perak (-RM354.1 juta), Selangor (-RM316.2 juta) dan Sabah (-RM232.3 juta).

 

"Sementara itu, Selangor mendominasi import Malaysia dengan bahagian 25.8%, diikuti Pulau Pinang (24.7%), Johor (20.5%), Kuala Lumpur (8.3%), dan Kedah (5.7%)," katanya. - DagangNews.com