Aliran keluar dana asing RM2.4 bilion berterusan pada Jun - CGSI | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Aliran keluar dana asing RM2.4 bilion berterusan pada Jun - CGSI

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 7 Julai - Sentimen pasaran yang kekal lemah terus mendorong pelabur asing menjadi penjual bersih bagi bulan kedua berturut-turut dengan aliran keluar bersih berjumlah RM2.4 bilion pada Jun, walaupun lebih rendah berbanding RM3.7 bilion pada Mei.

 

CGS International (CGSI) dalam rumusan bulanan pasaran berkata, aktiviti jualan asing berlaku pada 16 daripada 19 hari dagangan sepanjang Jun apabila sentimen pelabur masih terkesan susulan penstrukturan semula indeks MSCI pada Mei, selain kebimbangan menjelang pilihan raya.

 

Firma penyelidikan itu berkata, sehingga akhir Jun 2026, pelabur asing merekodkan jualan bersih sebanyak RM3.2 bilion bagi tahun semasa (YTD), menjadikan jumlah aliran keluar bersih terkumpul sejak 2024 meningkat kepada RM29.8 bilion.

 

"Tekanan jualan yang berterusan turut menyebabkan pegangan pelabur asing dalam pasaran ekuiti Malaysia merosot ke paras terendah dalam sejarah iaitu 18.3% setakat Jun 2026," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Dalam keadaan pasaran yang berhati-hati, institusi tempatan terus memainkan peranan sebagai penyokong utama pasaran apabila meneruskan pembelian bersih bagi bulan ketiga berturut-turut dengan aliran masuk RM1.9 bilion, walaupun lebih rendah berbanding RM3.1 bilion pada Mei.

 

Pelabur runcit tempatan turut kekal sebagai pembeli bersih dengan aliran masuk RM453 juta, namun jumlah itu menyusut daripada RM597 juta yang dicatatkan pada bulan sebelumnya.

 

Prestasi Sektor Dipacu Perladangan

Sementara itu dari sudut prestasi sektor, sektor perladangan muncul sebagai peneraju Bursa Malaysia pada Jun apabila indeks sektor itu meningkat 4.2%, menjadikannya sektor berprestasi terbaik dalam kalangan 13 indeks sektoral Bursa Malaysia.

 

CGSI berkata, hanya lima daripada 13 indeks sektoral Bursa Malaysia mencatatkan kenaikan sepanjang bulan berkenaan.

 

Selain perladangan, sektor pembinaan naik 1.7% manakala sektor pengguna menokok 1.1%.

 

"Sebaliknya, sektor hartanah merekodkan prestasi paling lemah dengan kejatuhan 10.1%, diikuti sektor penjagaan kesihatan (-9.0%) dan pengeluaran perindustrian (-8.7%)," katanya.

 

CGSI berkata, daripada 30 saham konstituen FBM KLCI, sebanyak 17 kaunter ditutup lebih tinggi pada Jun.

 

99 Speedmart muncul sebagai saham berprestasi terbaik dengan kenaikan 7.0%, diikuti Petronas Dagangan (+6.5%) dan IOI Corporation (+5.8%).

 

Dalam kalangan saham yang mencatatkan penyusutan terbesar pula, Petronas Chemicals merosot 22.3%, diikuti Press Metal (-14.7%) dan CelcomDigi (-12.5%). - DagangNews.com