Saham RNG Tech dibuka tidak berubah 13 sen pada penampilan sulung di Pasaran ACE | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Saham RNG Tech dibuka tidak berubah 13 sen pada penampilan sulung di Pasaran ACE

Gambar DagangNews.com / Kamaliza Kamaruddin
Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 7 Julai – Saham RNG Tech Berhad memulakan penampilan sulung di Pasaran ACE Bursa Malaysia tanpa perubahan apabila dibuka pada 13 sen, seperti harga tawaran awam permulaan (IPO).

 

Pelabur dilihat masih mengambil pendekatan berhati-hati meskipun syarikat memiliki rangkaian lebih 5,600 kerusi urut layan diri di Asia Tenggara yang menyokong prospek pertumbuhan jangka panjang.

 

Pada sesi pembukaan hari ini, saham kumpulan tersebut meningkat sedikit kepada 13.5 sen sebelum kembali susut ke paras harga IPO selepas lebih 35 juta saham didagangkan setakat pukul 9.05 pagi.

 

Berdasarkan kepada perkembangan harga dagangan tersebut, RNG Tech dilihat mempunyai permodalan pasaran mencecah sekitar RM102 juta pada hari pertama penyenaraiannya di Bursa Malaysia.

 

Prestasi sederhana itu hadir selepas sambutan terhadap IPO syarikat berkenaan dilihat berwaspada apabila bahagian yang diperuntukkan kepada pelabur runcit terlebih langgan kurang lapan kali.

 

Sementara saham yang diperuntukkan kepada pelabur terpilih tidak dilanggan sepenuhnya sebelum diagihkan semula kepada pelabur. RNG Tech merupakan pemilik dan pengendali jenama Rest N Go.

 

RNG Tech_DagangNews2026

 

Selain itu, syarikat mempunyai lebih 2,400 kerusi urut yang ditempatkan di Vietnam dan Filipina menerusi perjanjian pelesenan, sekali gus memperluaskan kehadiran jenama di rantau Asia Tenggara.

 

Melalui penyenaraian itu, kumpulan tersebut berjaya mengumpul dana sebanyak RM16.39 juta yang akan digunakan bagi usaha membiayai pelan pengembangan perniagaan serta keperluan operasi syarikat.

 

Pengarah Urusan RNG Tech, Datin Sophia Tan dan suaminya, Datuk Goh Cheh Yak, turut memperoleh hasil berjumlah RM10.24 juta menerusi tawaran jualan saham sedia ada sebagai sebahagian pelaksanaan IPO.

 

Che Yak yang juga pengasas bersama sebelum ini mengurangkan penglibatan dalam operasi syarikat bagi memberi tumpuan kepada pengembangan perniagaan Gintell, yang terlibat dalam penjualan kerusi urut.

 

Selepas penyenaraian, pegangan Sophia Tan berkurangan daripada 9.4% kepada 0.7%, manakala pegangan suaminya susut daripada 90.6% kepada 73.3%, namun kekal sebagai pemegang saham utama syarikat.

 

M&A Securities dilantik oleh pengurusan syarikat tersebut untuk bertindak sebagai penasihat, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan bagi pelaksanaan IPO RNG Tech. - DagangNews.com