Cypark mampu jana hasil besar pada 4Q didorong kenaikan yuran kemudahan sisa kepada tenaga, kata penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Cypark mampu jana hasil besar pada 4Q didorong kenaikan yuran kemudahan sisa kepada tenaga, kata penganalisis

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 25 Mac - Cypark Resources Berhad bersedia menjana peningkatan pendapatan yang ketara pada suku keempat (4Q) selepas menerima kelulusan kerajaan untuk meningkatkan hampir tiga kali ganda bayaran yuran bagi kemudahan sisa-kepada-tenaga (WTE) Negeri Sembilan.
 

Ia susulan kebenaran daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan berhubung kenaikan caj itu, yang dijangka diselaraskan kepada kadar baharu RM96/tan, naik mendadak berbanding hanya RM33/tan, dan dicadangkan untuk loji akan datang WTE di Sungai Udang.
 

PublicInvest Research mengunjurkan, yuran yang disemak kementerian berkenaan boleh menambah baik hasil syarikat tersebut sendiri antara RM300,000 hingga RM20 juta setiap tahun kepada barisan pendapatan teratas Cypark.
 

“Bagaimanapun kami mengambil sikap berhati-hati dan mengekalkan anggaran semasa buat masa ini, menunggu keputusan 3QFY25 yang keluar lewat minggu ini untuk mengesahkan keberkesanan kerja-kerja pembetulan loji, berikutan insiden kebakaran baru-baru ini,” katanya dalam nota kajian.
 

Firma penyelidikan tersebut tanpa memberikan anggaran secara khusus berkata, Cypark mungkin boleh menyaksikan peningkatan hasil yang besar dalam kedudukan kewangan pada 4QFY25 untuk mencerminkan langkah pelarasan retroaktif selama dua tahun sejak April 2023.
 

PublicInvest berkata, masa bayaran itu dilaksanakan ketika lojinya di Ladang Tanah Merah beroperasi semula pada Oktober 2024, susulan masa henti berkaitan kes kebakaran, dengan Cypark melaksanakan penambahbaikan untuk meningkatkan kecekapan.
 

Sementara itu, Maybank Investment Bank (Maybank IB) dalam nota berasingan menganggarkan bahawa berdasarkan RM1/tan metrik (MT)/hari untuk peningkatan bayaran tip, syarikat tersebut boleh menjana sekitar RM300,000 dalam pendapatan tahunan tambahan bagi segmen fasiliti WTE.
 

“Kami telah mengambil kira yuran tip yang lebih tinggi dalam unjuran kewangan, dan tidak membuat perubahan pada unjuran pendapatan teras Cypark,” kata firma itu dengan mengekalkan saranan “beli” ke atas saham syarikat dan harga sasaran (TP) disemak semula kepada 87 sen.
 

Ini berbeza daripada PublicInvest yang terus mengekalkan penarafan "neutral" dengan TP tidak berubah hanya sebanyak 80 sen, sementara menunggu pengesahan prestasi pasca pembetulan firma berkenaan dalam keputusan pada 3QFY2025 akan datang.
 

Ia menyatakan bahawa kemudahan WTE, yang beroperasi sejak Disember 2022 di bawah perjanjian tarif galakan selama 18 tahun, namun kini sudah mula mendapat banyak manfaat daripada kedua-dua peningkatan ekonomi dan lonjakan kebolehpercayaan operasi.
 

Pemerhati pasaran, tambah PublicInvest, turut menunggu pengesahan bahawa peningkatan teknikal loji tersebut telah berjaya menangani isu kebimbangan kebolehpercayaan sebelum ini.
 

"Jika terbukti berkesan, gabungan yuran yang lebih tinggi dan kestabilan operasi boleh memberikan momentum pendapatan kepada syarikat secara mampan, serta berpotensi menjamin semakan anggaran masa depan," kata firma peneylidkan itu.
 

Buat masa ini, kedudukan strategik Cypark dalam sektor WTE di Malaysia semakin kukuh, walaupun risiko pelaksanaan berlarutan daripada cabaran operasinya baru-baru ini. - DagangNews.com