Cukai tinggi selepas tamat status perintis jejaskan margin untung bersih ViTrox pada 3QFY25 - Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Cukai tinggi selepas tamat status perintis jejaskan margin untung bersih ViTrox pada 3QFY25 - Maybank IB

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 24 OktViTrox Corporation Berhad mencatat keputusan kewangan lemah bagi suku ketiga tahun kewangan 2025 apabila margin keuntungan bersih terjejas, menurut Maybank Investment Bank.


Firma penyelidikan tersebut menambah, keadaan itu disebabkan oleh kenaikan cukai susulan tamatnya status perintis syarikat, meskipun permintaan terhadap produk pemeriksaan automasi terus kukuh.


Katanya, tekanan cukai yang lebih tinggi itu mengecilkan margin bersih kepada 13.6% pada suku berkenaan, sekali gus mengehadkan pertumbuhan keuntungan bersih kepada hanya sebanyak RM31 juta.


"Meskipun hasil melonjak 25% suku ke suku (QoQ) kepada RM229 juta, kesan cukai ini menjadi faktor utama menyekat peningkatan kecekapan operasi dan pemulihan jualan," kata Maybank IB dalam notanya.


Secara keseluruhan, keputusan 9MFY25 mengatasi jangkaan firma itu, dengan keuntungan teras naik 10% tahun ke tahun (YoY) kepada RM87 juta, meliputi 82% daripada unjuran bagi setahun penuh.


Pendapatan kumpulan pula tambahnya, turut melonjak 37% YoY kepada RM553 juta, dipacu permintaan secara menyeluruh dalam segmen Automated Board Inspection (ABI) dan Machine Vision System (MVS).


Margin kasar jelas Maybank IB, juga didapati berjaya meningkat kira-kira 2.2 mata peratusan kepada sebanyak 21.6%, menandakan keberkesanan usaha kawalan kos dan peningkatan skala operasi syarikat. 


"Bagaimanapun margin bersih teras susut 3.9 mata peratusan kepada 15.8%, kesan langsung daripada cukai korporat yang naik selepas berakhir tempoh pengecualian cukai status perintis," katanya.


Ia menaikkan unjuran pendapatan FY25 sebanyak 9%, bagi mengambil kira pertumbuhan hasil kukuh daripada jangkaan, tetapi unjuran FY26 hingga FY27 dan saranan pelaburan masih lagi dikekalkan.


Sehubungan itu, Maybank IB tetap mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran (TP) juga tidak berubah pada RM4.11 sesaham, berdasarkan sebanyak 53 kali unjuran pendapatan syarikat pada FY26.


Selain itu, firma penyelidikan berkenaan menjangka prospek jangka sederhana ViTrox kekal stabil disokong oleh faktor pemulihan permintaan global dalam automasi industri dan pemeriksaan optik.


"Beberapa risiko utama namun kekal menjadi perhatian, antaranya persaingan sengit daripada pemain China menekan margin, serta kenaikan kos operasi dalam persekitaran inflasi tinggi," jelasnya.


Maybank IB turut menjangkakan masalah kelewatan inovasi teknologi kumpulan tersebut turut boleh menjejaskan potensi kedudukan pasaran, sekiranya cabaran itu tidak diberikan perhatian serius.


ViTrox kata firma itu tetap menunjukkan pemulihan kukuh hasil dan permintaan pelanggan, serta masih berdaya tahan dalam jangka sederhana, dengan pendekatan berhati-hati. - DagangNews.com