KUALA LUMPUR 13 Okt – Perancangan kerajaan melaksanakan cukai karbon bermula 2026 dilihat sebagai langkah agresif dalam mempercepat agenda penyahkarbonan negara, menurut CGS International (CGSI).
Bagaimanapun firma penyelidikan tersebut berkata, ia berpotensi memberi tekanan kos secara ketara ke atas sektor utiliti, terutamanya syarikat-syarikat tenaga yang berasaskan bahan api fosil.
Tambahnya, dalam jangka pendek, impak kos tambahan ini dijangka disalurkan pula kepada pengguna akhir, seperti yang sudah dapat dilihat sebelum itu di negara-negara maju seperti Singapura.
"Dalam konteks peralihan tenaga (ET), cukai karbon bakal mengubah struktur kos operasi bagi sektor utiliti, yang mendorong pemain industri mempercepatkan pelaburan mereka," kata CGSI dalam notanya.
Ini jelas firma itu lagi, dalam teknologi tenaga bersih dan sumber tenaga boleh diperbaharui (RE) dengan ia berpandangan, inisiatif ini menjadi satu ujian penting terhadap kesiapsiagaan industri.
Langkah tegas kerajaan katanya, dilihat sebagai usaha berterusan menyokong sasaran sifar bersih karbon menjelang 2050, sambil mengekalkan kebolehpercayaan bekalan dan daya saing tarif tenaga.
Selari dengan pelaksanaan cukai karbon kata CGSI, Belanjawan 2026 turut memperlihatkan penegasan semula komitmen kerajaan terhadap RE melalui pelbagai inisiatif yang merangkumi projek tertentu.
"Antaranya kami tertarik dengan pelancaran semula Solar Berskala Besar 6 (LSS6), perluasan kuota Tarif Galakan (FiT) serta pengembangan banyak program Solar ATAP dan CRESS," jelas firma itu.
Kesemua inisiatif berkenaan tambahnya, dilihat sebagai menyokong penambahan kapasiti RE secara berterusan dan memperluaskan penyertaan rakyat dalam sektor tenaga bersih sepanjang tahun depan.
Kerajaan kata CGSI, turut memacu kerjasama rentas sempadan dengan mempercepat projek grid Vietnam-Malaysia-Singapura melalui kerjasama TNB dan PETRONAS, selaras agenda Grid Tenaga ASEAN (APG).
Dari sudut pembiayaan, ia juga menyambut baik komitmen pelaburan RM16.5 bilion oleh syarikat milik kerajaan (GLC) disokong dana pemangkin dan lanjutan skim pembiayaan teknologi hijau sehingga 2026.
"Sebagai langkah jangka panjang, kerajaan memperuntukkan RM28.6 juta untuk Program MyPOWER dalam usaha mengukuh tenaga nuklear, sejajar standard Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA)," katanya.
CGSI melihat perkembangan positif ini sebagai permulaan kepada pembentukan kapasiti institusi bagi pembangunan tenaga nuklear, yang berpotensi menjadi sumber tenaga rendah karbon pada masa depan.
Pelaburan pusat data dan penglibatan syarikat teknologi gergasi dijangka meningkatkan permintaan elektrik jangka panjang, yang memberikan sokongan struktur kepada pertumbuhan sektor utiliti.
Secara keseluruhan, ia menilai Belanjawan 2026 sebagai positif terhadap sektor utiliti dengan sokongan dasar kerajaan yang dinilai kukuh dan hala tuju peralihan tenaga secara konsisten.
"Namun, pelaksanaan cukai karbon menjadi faktor kritikal yang perlu dipantau rapi dari segi impak kos kepada syarikat dan kebolehlaksanaan mekanisme pemindahan kos kepada pengguna," tambah CGSI.
Berdasarkan perkembangan itu, firma tersebut memilih saham Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Malakoff Corporation Berhad berikutan potensi pulangan pelaburan yang dijangka tinggi. - DagangNews.com








