Cukai karbon berupaya jana hasil RM3 bilion setahun, perkukuh dasar iklim – CIMB Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Cukai karbon berupaya jana hasil RM3 bilion setahun, perkukuh dasar iklim – CIMB Securities

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 23 Okt – Pelaksanaan sistem cukai karbon kebangsaan dijangka bukan sahaja mengukuh kedudukan fiskal negara, malah berpotensi menjana hasil kerajaan sehingga RM3 bilion setahun.


Menurut CIMB Securities, hasil itu boleh disalurkan semula kepada program sokongan industri dan pengguna, membantu sektor tempatan menyesuaikan diri dengan persekitaran ekonomi rendah karbon.


Tambah firma penyelidikan tersebut, langkah terbaharu berkenaan turut dijangka mampu mempercepat usaha pelaburan pelbagai pihak dalam teknologi lebih bersih dan tenaga boleh diperbaharui (RE).


“Cukai karbon bukan sekadar langkah fiskal yang menambah hasil negara, tetapi mekanisme strategik untuk mengukuh kedaulatan Malaysia dalam dasar penetapan harga karbon,” katanya dalam satu nota.


Menurut CIMB Securities, pengenalan sistem cukai karbon di bawah Dasar Cukai Karbon Kebangsaan akan membolehkan Malaysia dapat menetapkan harga karbon mengikut keutamaan ekonomi domestik.


Langkah ini turut diselaraskan dengan pelan lebih besar kerajaan untuk mengurangkan pelepasan karbon dalam sektor industri utama sambil mengekalkan kawalan ke atas dasar iklim nasional.


Pelaksanaan itu turut diperkukuh melalui Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara yang dijangka dibentangkan dalam masa terdekat, bagi memastikan koordinasi pelaksanaan dan pemantauan berkesan.


"Kami jangka cukai karbon nasional ini akan dilaksanakan kerajaan secara berperingkat dengan sektor keluli, simen dan tenaga sebagai kumpulan pertama yang terlibat," jelas CIMB Securities.


Ia menjelaskan sektor keluli menjadi tumpuan awal sejajar Rangka Tindakan Industri Keluli 2035 (SIR2035) menekankan reformasi lesen, pengurusan kapasiti dan pengeluaran keluli rendah karbon.


Antara langkahnya kata firma berkenaan, termasuk kawalan lebih ketat terhadap lesen pengeluaran, tindakan ke atas segala eksport sekerap haram serta galakan pelaburan dalam teknologi hijau.


Firma itu menyenaraikan Ann Joo Resources Berhad sebagai antara peneraju sektor dengan penggunaan teknologi hibrid dan pelaburan tenaga solar, di samping Malaysia Steelworks (KL) Berhad.


"Malaysia juga sedang membangunkan mekanisme harga karbon di bawah Perjanjian Paris, iaitu skim kerjasama dua hala (Artikel 6.2) dan mekanisme kredit karbon (Artikel 6.4), kata CIMB Securities.


Selain itu jelasnya, Malaysia sudah menandatangani memorandum persefahaman dengan Korea Selatan dan Singapura awal tahun ini untuk memperkukuhkan kerjasama perdagangan karbon antarabangsa.


Katanya, harga rujukan sekitar RM200 bagi setiap tan karbon dioksida diperlukan bagi menjadikan pengeluaran keluli rendah karbon secara komersial dan mampan dapat diuruskan di seluruh Malaysia.


CIMB Securities mengekalkan saranan 'pegang' terhadap Ann Joo dengan harga sasaran 75 sen, sambil menunggu penjelasan lanjut garis masa pelaksanaan cukai karbon dan undang-undang berkaitan iklim.


"Kami turut mengekalkan pandangan 'overweight' terhadap sektor bahan binaan, dengan Malayan Cement Berhad dinamakan sebagai pilihan utama manakala harga sasaran sesaham diunjurkan kepada RM7.05.


Ia meyakini usaha pelaksanaan cukai karbon kebangsaan merupakan langkah penting dalam menjamin kedaulatan Malaysia terhadap dasar iklim global dan berdaya saing di rantau ini. - DagangNews.com