KUALA LUMPUR 14 Okt – Pelaksanaan cukai karbon yang disasarkan bermula 2026 boleh membawa risiko ketara kepada industri besi dan keluli tempatan, sekali gus memberi tekanan kos sektor pembinaan.
Menurut CIMB Securities, ketidaktentuan mekanisme cukai serta kemungkinan peningkatan kos bahan binaan boleh menjejaskan pula margin kontraktor, terutamanya bagi projek yang berskala besar.
Firma penyelidikan tersebut menambah, risiko berkenaan dijangka melibatkan pelbagai aktiviti pembinaan yang sedang dirancang dan bakal dilaksanakan dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
"Butiran lanjut mengenai cukai ini dijangka diumum selepas diselaraskan dengan dasar pasaran karbon negara dan Rang Undang-Undang Perubahan Iklim yang akan dibentangkan kemudian," katanya.
Bagaimanapun, CIMB Securities dalam notanya itu berkata, prospek jangka sederhana sektor pembinaan kekal kukuh disokong oleh peruntukan pembangunan sebanyak RM81 bilion menerusi Belanjawan 2026.
Ia meningkat 1.3% tahun ke tahun (YoY) daripada RM80 bilion pada 2025, mencerminkan usaha kerajaan mengekalkan momentum pelaburan infrastruktur sambil melaksanakan penyatuan fiskal secara berhemah.
Selain itu, tambah firma berkenaan, penjimatan sebanyak RM15 bilion setahun daripada reformasi subsidi bersasar juga dijangka menyediakan ruang fiskal tambahan untuk membiayai projek berkeutamaan.
"Bagi projek yang dibiayai kerajaan, antara tumpuan utamanya termasuk naik taraf lapangan terbang seperti Tawau, dan Miri, serta lebuh raya Juru–Sungai Dua Fasa 2A," jelas CIMB Securities lagi.
Projek swasta pula katanya, menyaksikan kelulusan kerajaan Persekutuan ke atas beberapa projek baharu, antaranya sambungan Lebuh Raya Pantai Baharu bernilai RM1.4 bilion oleh IJM Corp Berhad.
Sementara Ekovest Berhad kata firma tersebut, melibatkan Laluan Istana–Kiara, Kampung Baru Link Expressway, dan Kapar Expressway dengan gabungan projek ini dijangka menelan kos RM6.3 bilion.
CIMB Securities turut menjangkakan lima hingga enam projek pusat data berskala hiper, masing-masing bernilai antara RM1 bilion hingga RM2 bilion, akan mula dianugerahkan menjelang akhir 2025.
"Dalam tenaga boleh diperbaharui (RE), pelaksanaan Pelan Peralihan Tenaga Negara (NETR) serta skim solar berskala besar (LSS) akan merancakkan aliran kerja sektor pembinaan tempatan," jelasnya.
Ia melihat Gamuda Berhad sebagai penerima awal manfaat, hasil kerjasamanya dengan SD Guthrie dan Gentari menerusi projek ladang solar sehingga 2,200MW dengan sistem penyimpanan tenaga bateri.
Secara keseluruhan, di sebalik cabaran kos dan ketidaktentuan dasar, CIMB Securities mengekalkan saranan 'overweight', yang berpandukan prospek projek serta pelaburan positif swasta. - DagangNews.com








