Cuckoo Malaysia catat untung bersih RM27.34 juta pada 2QFY25 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Cuckoo Malaysia catat untung bersih RM27.34 juta pada 2QFY25

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 14 Ogos — Cuckoo International (MAL) Berhad meraih keuntungan bersih yang mencecah sebanyak RM27.34 juta pada tempoh suku kedua yang berakhir 30 Jun 2025 (2QFY25).

 

Kumpulan tersebut namun tidak melaporkan data sebelum itu sebagai perbandingan dengan 1QFY25 yang berakhir 31 Mac 2025 kerana ia baru disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 24 Jun 2025.

 

Sepanjang tiga bulan pertama berkenaan, kumpulan tersebut melaporkan keuntungan bersih kira-kira RM27.8 juta dengan ia juga berjaya mencatatkan pendapatan keseluruhan sebanyak RM296.3 juta.

 

"Pada 2QFY25, Cuckoo Malaysia mencatatkan hasil RM306.7 juta, yang mencerminkan peningkatan 3.5 peratus dari tempoh suku ke suku (QoQ)," kata kumpulan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia.


Keputusan kewangan belum diaudit untuk separuh pertama tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 (1HFY25), mencatatkan hasil sebanyak RM602.9 juta dan keuntungan bersih tempoh itu ialah RM55.2 juta.

 

Perkembangan itu katanya, menekankan daya tahan kumpulan sebelum disenaraikan di Bursa Malaysia dan dijangka mampu mencatatkan pertumbuhan yang lebih mampan dalam dagangannya sepanjang tahun ini.

 

Pengarah Eksekutif Bukan Bebas dan Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat, Hoe Kian Choon, berkata, Cuckoo Malaysia kekal yakin dengan prospek pertumbuhan jangka panjang kumpulan itu di seluruh negara ini.

 

"Kami masih lagi berasa yakin positif dengan disokong oleh permintaan kukuh untuk rumusan kehidupan yang lebih sihat dan pengembangan berterusan model perniagaan berasaskan sewa kami," tambahnya.

 

Bagaimanapun kata beliau, kumpulan itu memantau dengan teliti dan mengurus secara proaktif kesan potensi peningkatan kos sara hidup, yang mungkin mempengaruhi corak pembayaran balik pelanggan.

 

Peruntukan kredit lebih tinggi pada suku ini kata Kian Choon, adalah hasil daripada penilaian risiko kredit berhemat, dan pilihan strategik untuk memastikan kestabilan sambil meningkatkan tahap skala.

 

Ia disokong model perniagaan berdaya tahan yang aktif mengukuhkan pengurusan untuk mengemudi landskap semasa dengan berkesan dan mengekalkan pertumbuhan menguntungkan. - DagangNews.com