CTOS Digital lantik Ankur Sehgal sebagai CEO selepas hampir 8 bulan jawatan tidak diisi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

CTOS Digital lantik Ankur Sehgal sebagai CEO selepas hampir 8 bulan jawatan tidak diisi

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 12 Dis – Selepas hampir lapan bulan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) CTOS Digital Berhad dibiarkan kosong, akhirnya Ankur Sehgal dilantik secara rasmi mengisi kedudukan tersebut.


Beliau bakal mengambil alih jawatan itu di kumpulan berkenaan susulan tindakan kontroversi Erick Hamburger mengambil cuti sebelum kemudian terus menamatkan perkhidmatannya pada 1 Mei 2025. 


Bagaimanapun, CTOS Digital memaklumkan yang pelantikan Sehgal, 43, hanya berkuat kuasa pada 3 Mac 2026, dan tidak pula memberi sebarang sebab kenapa tidak dilaksanakan segera dalam masa terdekat.


Ia hanya menyatakan yang beliau hadir dengan pengalaman kepimpinan luas selama lebih dua dekad merangkumi aspek perbankan digital, strategi produk, kredit runcit, pengurusan risiko dan analitik data.


"Perkembangan tersebut menjadikan beliau antara bakat dilihat mampu memacu CTOS Digital ke fasa pertumbuhan seterusnya dalam ekosistem data dan teknologi kewangan negara," kata syarikat itu.


Sehgal jelasnya, kini merupakan Pengarah Urusan Kanan, Perniagaan Digital di CIMB Bank Malaysia, selain masih memegang jawatan sebagai ahli Lembaga Pengarah CIMB Bank Cambodia di Kemboja.


Kerjayanya itu turut melangkaui beberapa pasaran utama termasuk Singapura, Malaysia, Filipina, Vietnam, Kemboja dan Amerika Syarikat, dengan rekod kepakaran membangunkan perniagaan digital.


Justeru, pengalaman beliau itu dinilai mampu memperkukuh institusi kewangan dan ekosistem kredit, serta dengan pelantikan ini dijangka mengembalikan kesinambungan kepimpinan CTOS Digital sendiri.


Kumpulan tersebut dalam beberapa tahun kebelakangan ini agresif mengembangkan rangkaian data, perkhidmatan analitik serta kerjasama strategik dengan institusi kewangan dan sektor korporat.


"Sehgal turut merupakan graduan dari Indian Institute of Technology (IIT) Roorkee, dengan memiliki Ijazah Sarjana Muda Teknologi dalam Kejuruteraan Metalurgi dan Bahan," jelas CTOS Digital lagi.


Dengan latar belakang kukuh dalam transformasi digital dan kredit pengguna, kumpulan itu menjangkakan pelantikan ini menyuntik momentum pertumbuhan menjelang tahun kewangan 2026. - DagangNews.com