KUALA LUMPUR 22 April – Penggunaan inventori kos rendah selama kira-kira enam bulan memberi kelebihan kepada Cropmate Holdings Bhd untuk menikmati margin keuntungan yang lebih tinggi apabila harga pasaran baja meningkat, menurut RHB Research.
Keadaan ini memberi kelebihan kepada margin keuntungan kerana kos input kekal rendah dalam tempoh tertentu, sementara harga jualan meningkat susulan kekangan bekalan global.
Selain itu, pertumbuhan bagi tempoh FY2026 hingga FY2027 turut disokong oleh permintaan kukuh daripada sektor perladangan sawit serta tanaman durian, khususnya bagi produk baja konvensional dan baja khas.
RHB Research berkata syarikat itu dijangka mencatat pertumbuhan pendapatan yang kukuh bagi tempoh FY2026 hingga FY2028, disokong oleh kitaran kenaikan industri baja global serta peningkatan harga jualan purata (ASP).
Firma penyelidikan itu berkata jangkaan tersebut dibuat berdasarkan lonjakan harga baja dunia, khususnya urea yang meningkat hampir 89%, susulan kekangan bekalan global serta gangguan rantaian perdagangan antarabangsa yang menjejaskan kestabilan pasaran komoditi.
“Sekatan eksport oleh negara pengeluar utama seperti China dan Rusia turut menjadi faktor utama, dengan kedua-dua negara itu menyumbang sebahagian besar bekalan urea dunia, menyebabkan bekalan semakin terhad.
“Selain itu, ketegangan geopolitik termasuk gangguan di Selat Hormuz turut memberi tekanan tambahan kepada rantaian bekalan global, meningkatkan kos logistik serta harga input utama seperti gas asli, nitrogen, fosforus dan kalium,” kata RHB Research dalam nota kajiannya hari ini.
Selat Hormuz yang merupakan laluan perdagangan strategik tenaga dan bahan mentah memberi kesan langsung kepada industri baja apabila berlaku sebarang gangguan yang mencetuskan tekanan harga di peringkat global.
Dalam persekitaran ini, RHB Research menetapkan nilai saksama Cropmate pada RM0.34 sesaham berdasarkan gandaan harga kepada pendapatan (P/E) 12x FY27F, mencerminkan potensi kenaikan sekitar 71% berbanding harga semasa RM0.20.
Dari segi prestasi kewangan, Cropmate mencatat hasil sebanyak RM196.5 juta pada FY25, meningkat 22.3% tahun ke tahun, dengan keuntungan bersih sekitar RM15 juta, disokong oleh peningkatan volum dan harga jualan.
Syarikat itu turut merekodkan pertumbuhan keuntungan jangka sederhana dengan unjuran pertumbuhan pendapatan berulang sekitar 15.8% kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) bagi tempoh tiga tahun akan datang.
Cropmate beroperasi dalam tiga segmen utama iaitu baja konvensional yang menyumbang 56.5% hasil, baja khas sebanyak 9.4%, serta aktiviti perdagangan baja yang merangkumi 34% daripada jumlah pendapatan.
Cropmate juga sedang memperkenalkan produk baharu seperti baja bersalut yang meningkatkan kecekapan nutrien, mengurangkan pembaziran baja serta menyokong amalan pertanian mampan atau ESG.
Dari segi pengembangan, syarikat sedang membangunkan loji baharu di Bintulu yang dijangka mula beroperasi pada separuh pertama FY2027, sekali gus memperkukuh kehadiran di Malaysia Timur termasuk Sabah dan Sarawak.
Loji tersebut dijangka mengurangkan kos logistik serta meningkatkan kecekapan rantaian bekalan, selain menyokong pertumbuhan volum jualan dalam tempoh jangka sederhana.
Bagaimanapun, RHB Research memberi amaran terhadap beberapa risiko utama termasuk kejatuhan harga baja lebih cepat daripada jangkaan, gangguan bekalan bahan mentah, kelewatan operasi loji Bintulu serta kelembapan permintaan sektor perladangan. - DagangNews.com








