Critical Holdings peroleh kontrak mekanikal dari firma Amerika Syarikat bernilai RM41 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Critical Holdings peroleh kontrak mekanikal dari firma Amerika Syarikat bernilai RM41 juta

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 11 Ogos — Critical Holdings Berhad memperoleh kontrak bernilai RM40.76 juta untuk menjalankan kerja-kerja mekanikal dan elektrik bagi pemasangan lantai pengeluaran baharu.

 

Kumpulan perkhidmatan kejuruteraan tersebut berkata, tender baharu itu, termasuk seni bina bilik bersih dan utiliti proses, telah diperoleh melalui anak syarikatnya, Critical Sales & Services Sdn Bhd.

 

Kontrak berkenaan diterima daripada sebuah firma multinasional yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) dan terkenal dalam menawarkan penggunaan kecerdasan buatan (AI) serba canggih.

 

"Syarikat itu terkenal dengan peranti dalam pemprosesan keputusan saraf tenaga ultra rendah dan model pembelajaran mesin agnostik perkakasan," katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Kerja-kerja tender tersebut tambah Critical Holdings, dijangka dapat dimulakan kumpulan itu pada 15 Ogos 2025 dan ia perlu disiapkan menjelang 21 November 2025.

 

Kontrak berkenaan tambahnya, dijangka mampu menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih syarikat bagi tahun kewangan yang berakhir pada 30 Jun 2026.

 

"Selain daripada risiko operasi biasa yang dikaitkan dengan kontrak itu, kami tidak menjangkakan sebarang risiko luar biasa sepanjang kerja-kerja," katanya. - DagangNews.com