Critical Holdings mampu catat potensi kukuh dalam sektor kejuruteraan - Phillip Capital | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Critical Holdings mampu catat potensi kukuh dalam sektor kejuruteraan - Phillip Capital

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 14 Mac — Critical Holdings Berhad, yang memperoleh kontrak pertama dalam sektor pusat data, diunjurkan mengalami pertumbuhan yang memberangsangkan apabila ia mengukuhkan kedudukan dalam segmen yang berkembang pesat, kata Phillip Capital Research.
 

Firma penyelidikan tersebut berkata, syarikat penyedia rumusan bagi kejuruteraan mekanikal, elektrikal dan proses (MEP) itu meraih dua projek bernilai RM84.7 juta awal minggu ini serta meningkatkan buku pesanan kepada rekod tertinggi RM280 juta.
 

Kontrak berkenaan termasuk projek sebanyak RM63.6 juta untuk pemasangan penghawa dingin dan pengudaraan mekanikal, bilik bersih, utiliti proses dan sistem automasi bangunan kilang pusat super terletak di kawasan perindustrian Perai, Pulau Pinang.
 

"Ia akan dapat menyokong bahagian pengeluaran peralatan fabrikasi wafer oleh sebuah syarikat multinasional yang berpangkalan di Amerika Syarikat dan projek itu dijangka siap pada suku pertama 2026," kata firma itu dalam satu nota kajian.
 

Kumpulan Critical Holdings juga kata Phillip Capital, menerima kerja-kerja bernilai RM21.1 juta bagi pemasangan penghawa dingin dan sistem pengudaraan mekanikal untuk projek pusat data di Cyberjaya, Selangor yang dijadualkan siap pada suku keempat 2025.
 

Firma berkenaan menyatakan bahawa kejayaan dalam mendapatkan kontrak pusat data merupakan peristiwa penting bagi syarikat itu kerana ia berkembang menjadi sektor pertumbuhan tinggi di samping perniagaan semikonduktornya.
 

Phillip Capital Research mengulangi saranan "beli" ke atas Critical Holdings, dan mengekalkan harga sasaran iaitu RM1.65 berdasarkan gandaan bagi harga perolehan 20 kali ganda pada pendapatan sesahamnya untuk tahun ini.
 

"Kami menjangkakan penilaian semula selanjutnya, disokong oleh keterlihatan pendapatan yang kukuh dan saluran paip tender yang mantap" kata firma penyelidikan itu. - DagangNews.com